HANYA kerana berjaya menghidupkan watak ‘anak ikan’ dalam sebuah drama bersiri, pelakon Afieq Shazwan mengakui ada menerima tawaran menjadi ‘sugar daddy’.
Pelakon berusia 26 tahun itu berkongsi bahawa dia menerima tawaran tersebut beberapa kali oleh individu menerusi mesej pesanan ringkas (DM) di Instagramnya.
Bagaimanapun, Afieq yang juga peserta Idola Kecil musim pertama menganggap ia hanyalah satu bentuk penipuan serta bertindak menyekat akaun-akaun terbabit.
“Ada yang DM saya dan tawarkan untuk ajak saya jadi anak ikan. Saya rasa itu semua tindakan ‘scammer’ sahaja dan terus saya ‘block’.
“Mereka tidak beritahu berapa amaun yang ingin diberikan tetapi mereka kata ‘benda boleh bincang’. Saya ingatkan kes begini hanya ditawarkan kepada golongan wanita, rupanya lelaki pun ada.
“Secara realiti saya memang kurang selesa dengan orang-orang suka mengupah orang lain untuk kepuasan mereka.
“Selepas berlakon Rampas Cintaku musim yang pertama saya lihat sendiri kes yang nak upah jadi anak ikan itu memang betul-betul wujud dan ia amat menakutkan,” katanya seperti dilapor OhBulan!.