HomeBeritaPolitikAfnan Hamimi dilantik Ketua Pemuda PN baharu

Afnan Hamimi dilantik Ketua Pemuda PN baharu

CYBERJAYA: Perikatan Nasional (PN) melantik Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden sebagai Ketua Pemuda baharu berkuat kuasa mulai Sabtu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat.

Menurutnya, pelantikan itu bagi menggantikan tempat Ahmad Fadhli Shaari yang menggalas jawatan tersebut sejak 26 Januari 2022 sehingga 19 Januari 2024.

“PN mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan menzahirkan penghargaan kepada Ahmad Fadhli Shaari, di atas sumbangan serta jasa bakti yang dicurahkan sepanjang memikul amanah sebagai Ketua Pemuda PN,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata, mesyuarat turut membincangkan situasi terkini beban sara hidup semakin mendesak, termasuklah isu kenaikan tarif air.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Larut itu menegaskan, PN sebulat suara mendesak kerajaan Persekutuan supaya memberi keutamaan kepada isu ekonomi dengan menyelesaikan masalah rakyat.

“Pada masa sama, PN komited untuk meneruskan agenda pemerkasaan parti dan akan menganjurkan Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat PN dan Pemukiman Pemerkasaan PN dalam masa terdekat,” tambahnya.

Author

Pilihan Editor