CYBERJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka menerima 7,648 unit kamera badan (BWC) secara berperingkat mulai September tahun ini hingga Februari 2025.
Penerimaan itu adalah berdasarkan Surat Setuju Terima (SST) yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), semalam.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, BWC adalah untuk penugasan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di bawah JPJKK, selain akan diperluaskan untuk penugasan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).
“Ia (BWC) akan ditempatkan di 157 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan 640 balai polis di seluruh kontinjen dan penggunaannya adalah secara berperingkat mulai Oktober 2024.
“Pada masa ini, kita menjangkakan BWC akan digunakan sepenuhnya oleh petugas MPV dan URB pada Mac 2025.
Bagi memastikan semua petugas MPV dan URB mahir dalam mengendalikan BWC, latihan penggunaan akan dilaksanakan mulai Mac 2025 hingga Disember 2025,” katanya memetik Berita Harian pada Rabu.
Tambah beliau, PDRM akan menjadi agensi tunggal keselamatan awam negara dalam penggunaan teknologi terkini, sejajar dengan kepolisan moden.
“Selari dengan perkembangan teknologi dan penugasan kepolisan yang semakin mencabar, adalah menjadi harapan kita supaya penggunaan BWC akan dapat meningkatkan tatakelola yang baik dalam penugasan rondaan pencegahan jenayah dalam kalangan petugas MPV dan URB.
“Dengan tersematnya BWC di pakaian seragam polis, ia akan meningkatkan lagi hubungan dan kerjasama orang awam dan polis kerana setiap perbualan mereka dirakam,” maklumnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa pengunaan BWC secara tidak langsung akan menaikkan imej PDRM dalam kalangan masyarakat kerana rakamannya boleh dijadikan bukti di mahkamah dan di dalam sebarang kes jenayah.