“KAMI dilahirkan berseni, diberi kemampuan untuk menyanyi dan mencipta lagu. Allah sudah tentukan rezeki kami ada di sini. Jadi kena teruskan kerja kami.”
Demikian kata penyanyi dan pelakon, Datuk Awie kepada segelintir pihak yang mudah menghukum atau mengecam penggiat seni yang menganjurkan konsert dan persembahan.
Menurut penyanyi berusia 55 tahun itu, masyarakat perlu faham bahawa punca pendapatan artis adalah menerusi kerja seni yang mereka lakukan.
Katanya, hal itu kerana penganjuran konsert dan persembahan menjadi punca rezeki untuk sejumlah besar penggiat seni di negara ini yang mempunyai keluarga untuk disara.
“Kami berkeluarga, ada anak yang perlu ke sekolah atau universiti serta isteri yang dalam kalangan mereka bakal melahirkan. Ini adalah tanggungjawab dan perjuangan kami.
“Justeru kenapa mahu halang kerja kami? Mereka yang menghalang dan menyuruh kami berhenti adalah salah, ibarat sekat rezeki kami. Rezeki isteri dan anak-anak kami.
“Guna akal sebelum menyuruh kami berhenti. Doakan kami dan ingat, setiap kita ada tanggungjawab masing-masing.
“Tanggungjawab kepada Allah S.W.T, isteri dan anak-anak. Jadi jangan halang tanggungjawab kami,” katanya memetik Utusan Online.