CYBERJAYA: Pelawak yang juga anggota Senario, Hamdan Ramli disahkan meninggal dunia sekitar pukul 12:40 tengah hari di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Khabar duka itu dikongsi rakan artis, Roslan Shah menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.
“Hari Jumaat, artis Hamdan Senario baru menghembuskan nafas jam 12.40 tengahari tadi, dapat call dari Johor Bahru,” kongsinya.

Sementara itu, anggota Senario, Azlee memaklumkan jenazah akan dibawa ke Ipoh, Perak untuk dikebumikan.
“Jenazah hantar terus ke pergi Ipoh. Kebumi disana di kampung halamannya,” maklum Azlee memetik mStar.
Ahad lalu, Hamdan atau nama sebenarnya Ahmad Hamdan Mohamed Ramli,54, ditidurkan Unit Rawatan Rapi (ICU), HSA akibat jangkitan kuman dalam darah.
Difahamkan, doktor mengesyaki selebriti yang menghidap penyakit kencing manis sejak beberapa tahun lalu itu turut mengalami masalah buah pinggang.
Sebelum ini anaknya, Muhamad Syazreen Haqem memaklumkan Hamdan mengalami sesak nafas dan memerlukan bantuan oksigen selepas demam serta cirit-birit sejak Ahad lalu.
Hamdan berada di Johor Bahru kerana terlibat dengan program Wonderful Night with Senariounion bersama anggota kumpulan Senario iaitu Azlee, Saiful Apek, Wahid, Yassin dan Ilya.