SEBUAH keluarga terpaksa menanggung kerugian lebih RM72,000 selepas terlibat dalam skim penipuan di aplikasi WhatsApp.
Perkara itu didedahkan oleh seorang wanita dikenali sebagai Nur Shalwani Shari di laman Facebook.
Luah Nur Shalwani, dia berasa kecewa apabila ibunya kerap melayan individu tidak dikenali di WhatsApp, meskipun sudah beberapa kali diberi amaran.
Wanita itu berkata, nasihat yang diberi umpama mencurah ke daun keladi apabila tidak diendahkan, sekali gus menyebabkan dia dan adik-beradiknya yang lain terpaksa melunaskan hutang yang dibuat oleh ibu mereka.

“Ujian kami adik-beradik agaknya. Selalu sangat dah pesan jangan layan bukan-bukan kat telefon tu, tapi tak sangka mak lebih percayakan orang luar. Lepas kena tipu, bank in lagi, lagi dan lagi. Harap ini jadi pengajaran untuk orang lain.
“Sedih, marah, kecil hati pun ada dengan mak sendiri. Nasihat anak-anak sikit pun tak nak percaya. Bila jadi macam ini, anak-anak yang jadi mangsa kena langsaikan hutang,” katanya.
Pada masa sama, Nur Shalwani meminta orang ramai yang mengenali ibunya supaya tidak melayan permintaannya untuk meminta atau meminjam wang.

Baru-baru ini, katanya, warga emas itu ada membuat pinjaman sebanyak RM3,000 daripada dirinya dan RM7,000 lagi daripada suaminya.
“Merayu-rayu minta tolong dan saya syak memang dah kena scam. Bila tanya betul-betul rupanya memang dah kena scam hampir RM40,000 hingga RM50,000 selepas saya desak untuk beritahu.
“Kawan-kawan dia atau saudara-mara minta tolong aware supaya jangan bagi (pinjaman wang) pada umi saya. Saya akan lapor polis ini sebab umi macam dah kena santau ke pukau ke apa tak tahu dah. Kena azan dekat telinga dia.
“Minta tolong saudara-mara, jiran atau kenalan, kalau umi nak pinjam lagi duit atau merayu-rayu nak pinjam duit lagi, itu atas risiko sendiri.
“Kami adik-beradik dah tak mahu masuk campur. Sejak empat tahun saya kerja di Johor, duit tiap-tiap bulan bagi RM1,000 tak pernah miss, abang selalu bagi RM300 hingga RM400 sebulan, kakak sulung selalu bagi RM500 hingga RM600 tapi tak tahulah apa lagi yang tak cukup,” katanya kesal.
Dalam perkongsian berasingan, wanita itu memaklumkan bahawa dia dan suaminya sudah ke balai polis untuk membuat laporan terhadap skim penipuan itu.

Meskipun wanita itu sedia maklum bahawa wang tidak dapat dikembalikan semula, namun dia hanya mahu memberi kesedaran kepada ibunya yang sudah ditipu.
Dedahnya, jumlah kerugian yang dapat dikesan bernilai RM72,500 termasuk wang Amanah Saham Berhad (RM20,000), emas (RM3,500), wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (RM35,000), Amanah (RM4,000) dan hutang saudara-mara bernilai RM10,000.

“Masuk je balai polis, kami terus nampak paper board bagi amaran pasal tipu pelaburan ini. Yang kami report hanya yang masih beresit. Yang mak saya dah padam tak tahu dah.
“Polis dah buat report tapi macam biasa, duit yang di scam memang takkan dapat balik. Kecewa, marah, sedih, penat semua ada tapi mak masih tak sedar. Saya rasa saya dan suami dah settle part kami. Selebihnya kami serah pada Allah dan buat apa yang kami mampu lepas ni.
“Minta tolong orang-orang kat luar sana biar lebih hati-hati dan pantau mak ayah. Rasa macam gagal sangat sebagai anak. Doakan kami semoga rezeki makin bertambah dengan ujian ini. Saya akan potong atau block nombor mak saya ni.
“Facebook semua saya akan padam. Buat saudara-mara yang kenal, kalau nk contact umi, boleh minta nombor pada saya, abang atau kakak saya, Shazila Shari,” katanya.