SESEORANG yang menghadap Ilahi ketika beramal soleh merupakan antara tanda husnul khotimah dan semestinya menjadi idaman ramai.
Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji serta menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun, (bagi orang yang bertaubat).” – Surah al-Mulk ayat 2.
Menerusi sebuah video yang tular baru-baru ini, seorang imam yang sedang memimpin makmum ketika solat Subuh tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri.
Kejadian itu berlaku ketika imam tersebut sedang sujud di Masjid Al-Ula, Kampung Bru, dekat Balikpapan Barat, Kalimantan Timur, Indonesia.
Setelah beberapa ketika imam tersebut rebah, barulah makmum di masjid itu sedar manakala salah seorang makmum dilhat segera menggantikan imam berkenaan bagi memimpin makmum lain menghabiskan solat.
Di sebalik tindakan makmum tersebut, timbul tanda tanya segelintir pihak yang mempersoalkan sama ada makmum yang berada di lokasi kejadian perlu menyelamatkan imam berkenaan mahupun meneruskan solat.
Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, meskipun perkara tersebut jarang berlaku namun, makmum yang berada di lokasi disarankan untuk memberi keutamaan menghabiskan solat terlebih dahulu.
Mohamad Sabri berkata, hal ini kerana kemungkinan besar makmum masih belum dapat mengenal pasti keadaan sebenar imam tersebut sama sedang sakit atau sudah meninggal dunia.
“Apabila kita sembahyang, kita perlu teruskannya dahulu.
“Kita tak boleh berhenti serta-merta ketika sembahyang. Kalau sudah habiskan sembahyang, baru boleh segerakan tolong imam,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Kesan daripada itu, katanya, makmum yang berada di lokasi tidak perlu memulakan semula atau mengganti solat fardu ketika itu.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sebahagian tanda individu yang meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah ialah mati pada hari atau malam Jumaat, mengucap dua khalimah sebelum menghembuskan nafas terakhir, meninggal dunia dalam keadaan peluh di dahi dan beramal soleh sebelum meninggal dunia.