HomeBeritaIsytihar aset dalam 30 hari, Dr Mahathir risau Mirzan disiasat SPRM

Isytihar aset dalam 30 hari, Dr Mahathir risau Mirzan disiasat SPRM

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa beliau turut dilanda kerisauan berhubung kes membabitkan anaknya, Mirzan yang kini sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dr Mahathir menganggap, notis yang diterima Mirzan untuk mengisytiharkan segala asetnya dalam tempoh 30 hari sebagai tidak masuk akal.

Apatah lagi, pengisytiharan aset itu diperlu dilakukan sejak Mirzan masih bergelar pelajar pada 42 tahun lalu.

“Risau jugalah sebagai anak saya. Dia (Mirzan) beritahu dia dapat notis dan semua transaksi perlu dikemukakan sejak dia berusia 20 tahun.

“Yang itu dia kena jawablah boleh atau tidak dalam jangka masa 30 hari kena kemukakan transaksi 42 tahun.

“Oleh itu, dia kena tanya bank, Petronas, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), korek maklumat dalam pejabat. Ini disebabkan dia harus mengemukakan banyak sangat bahan bukti,” katanya ketika sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, pada Isnin.

Terdahulu, SPRM mengesahkan sudah memanggil Mirzan, 66, yang juga ahli perniagaan bagi membantu siasatan.

Menurut SPRM, Mirzan sudah hadir ke ibu pejabat di Putrajaya dan satu perintah notis disampaikan kepada beliau mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.

Notis itu mengkehendaki Mirzan mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangannya, sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis itu.

 

Author

Pilihan Editor