PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya bagi setiap musim perayaan tidak akan dianjurkan mulai tahun ini.
Jelasnya, keputusan Kementerian Pengangkutan (MOT) itu dibuat bagi menjimatkan kosĀ setiap majlis yang menelan belanja antara RM100,000 ke RM200,000.
Menurut Loke, perbelanjaan terbabit sebaliknya boleh disalurkan untuk menambah baik kempen keselamatan sedia ada, yang boleh memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Mulai tahun ini, tiada lagi majlis pelancaran kerana tanpa majlis pelancaran itu pun, operasi JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) tetap berjalan. Operasi bersepadu pun tetap diadakan dan undang-undang tetap dikuatkuasakan.
“Namun, jika ada syarikat swasta nak buat kempen, itu terpulang kepada mereka. Yang saya hentikan ialah bajet kementerian sebab kita akan guna untuk tujuan lebih baik.
“Mungkin berikan topi keledar percuma bernilai RM55 setiap satunya kerana kami dapati masih ada yang menggunakan topi keledar lusuh,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan amanat 2024 Kementerian Pengangkutan di sini, pada Jumaat.