HomeGlobalJurutera kedekut ‘demand’ wanita cantik, tinggi

Jurutera kedekut ‘demand’ wanita cantik, tinggi

SEORANG lelaki berusia 45 tahun menegaskan bahawa, dia layak memiliki isteri yang mempunyai rupa paras cantik dan tinggi lampai.

Lapor South China Morning Post, hal ini berikutan  lelaki yang dikenali sebagai Feng itu menganggap dirinya kelihatan muda dan kekal bujang, selepas mengadakan lebih 100 janji temu atau blind date.

Perkara itu didedahkan oleh pencari jodoh terkenal, Wang Zhihui, 70, yang turut memaklumkan bahawa, dia sudah mengaturkan banyak blind date untuk lelaki tersebut sejak sedekad lalu.

Zhihui berkata, Feng yang berasal dari Hangzhou, dekat wilayah Zhejiang, timur China itu sangat mementingkan dirinya selain cerewet dalam pemilihan wanita yang akan dijadikan bakal isterinya.

Katanya, calon isterinya mesti dilahirkan selepas tahun 1990-an, cantik, memiliki ketinggian tidak kurang daripada 160 sentimeter (cm) dan berasal dari Hangzhou.

Menurut Feng yang berketinggian 172cm, dia tidak akan menerima wanita rendah kerana dia memikirkan rupa dan keadaan fizikal anaknya pada masa depan.

Jelasnya, dia berhak memilih kerana menganggap wajahnya kelihatan muda (baby face).

Sementara itu, Zhihui berkata, Feng terlalu meletakkan harapan tinggi ketika mencari jodoh.

Tambah Zhihui, meskipun Feng memiliki kerjaya sebagai jurutera yang biasanya dianggap satu kelebihan dalam pasaran mencari jodoh, dia tidak muda serta mempunyai masalah pertuturan.

Apatah lagi, Zhihui berkata, Feng memiliki sifat kedekut dan menegaskan tidak akan sesekali membayar minuman ketika temu janjinya.

Kisah Feng sekali gus mendapat kecaman di media sosial, yang rata-ratanya menyifatkannya terlalu cerewet.

“Mungkin lebih baik dia kekal bujang,” kata seorang pengguna aplikasi Douyin.

Baby face bukanlah faktor yang menjadi keutamaan wanita,” tambah seorang lagi pengguna.

Pada masa sama, Zhihui memberi peringatan bahawa kisah tersebut merupakan pengajaran kepada golongan muda yang sedang mencari jodoh, untuk lebih mempunyai kesedaran akan kekurangan diri sebelum bersifat terlalu memilih.

Pada 2019, seorang lelaki berusia 28 tahun dari utara China menjalani rawatan menanam rambut kerana yakin bahawa, botak merupakan punca utama dia tidak bertemu jodoh selepas berusia 30 tahun.

Author

Pilihan Editor