SEORANG wanita bertindak menyaman bekas suaminya yang berusia 61 tahun, selepas mengetahui lelaki tersebut sudah mendirikan rumah tangga bersama perempuan lain.
Tuntutan saman bernilai 200 juta yuan (RM132 juta) yang dikemukakan wanita berusia 33 tahun itu, bertujuan untuk memberi nafkah kepada lapan orang anak mereka.
Sebelum mengetahui kekasihnya memiliki seorang isteri, wanita yang enggan dikenali dan berasal dari wilayah Sichuan di barat daya China itu telah membina keluarga dengannya dan membesarkan lima anak lelaki dan tiga anak perempuan.
Wanita yang berasal dari keluarga kaya itu mula mengenali lelaki terbabit secara dalam talian ketika dia berusia 23 tahun.
“Dia memberitahu saya bahawa dia bujang, jadi hubungan kami sah,” kata wanita itu seperti dilapor South China Morning Post.
Menerusi hantaran video, wanita tersebut menunjukkan sijil yang mendakwa bahawa mereka sudah berkahwin pada tahun 2015 sebelum merancang untuk memiliki 10 orang anak.
Wanita itu kemudian mendedahkan sijil kelahiran, yang memaparkan anak-anaknya dilahirkan di Amerika Syarikat (AS) hasil daripada ibu tumpang.
Dia menganggarkan bahawa mereka membelanjakan lebih daripada 10 juta yuan (RM6.6 juta) untuk menanggung kelapan-lapan anaknya.
Namun, impiannya untuk sehidup semati bersama suaminya musnah apabila mendapati lelaki itu berpindah ke luar negara.
Ini menyebabkan wanita berkenaan memutuskan untuk menyaman lelaki tersebut serta mendapatkan kembali aset yang didakwa diberikan kepadanya.
Keadaan menjadi lebih tegang apabila wanita itu mengetahui bahawa lelaki terbabit memiliki isteri lain.
Wanita yang terpaksa menyara kelapan-lapan anaknya seorang diri itu kemudian menyaman bekas kekasihnya untuk menuntut nafkah kira-kira 200,000 yuan (RM132,000) sebulan.
Sementara itu, keluarga lelaki tersebut menegaskan bahawa tuntutan hanya boleh dibuat sekiranya wanita berkenaan sanggup menyerahkan kesemua anaknya kepada lelaki terbabit.
Jika tidak, katanya, mereka turut akan menuntut tindakan undang-undang.
“Saya tidak boleh menyerahkan anak-anak saya kepadanya,” kata wanita itu.
Kes itu dibicarakan pada Oktober tahun lalu dan ia masih belum selesai sehingga kini.
Pada Jun tahun lalu, seorang wanita di barat daya China menghadiri perkahwinan bekas suaminya dan membawa sepanduk berbunyi: “Saya terima gundik bagi pihak suami saya.”
Tindakan itu dibuat selepas berang apabila dia gagal menuntut pampasan 1 juta yuan (RM658,000) hasil penceraian mereka.
Mac tahun lalu, seorang suri rumah di Beijing mendapati bahawa suami melakukan penipuan mengenai jumlah aset kekayaannya.
Dakwa suri rumah itu, suaminya memaklumkan bahawa dia hanya memiliki simpanan sebanyak 100,000 yuan (RM66,000), sebaliknya jumlah sebenar simpanannya bernilai sehingga 3 juta yuan (RM1.9 juta).
Ini menyebabkan wanita itu menuntut penceraian dan meminta suaminya menyerahkan lebih 60 peratus daripada asetnya.