CYBERJAYA: Kerajaan akan mengumumkan penambahbaikan terhadap bantuan-bantuan lain untuk rakyat selepas memberi peruntukan lebih besar bagi program subsidi bersasar Sumbangan Asas Rahmah (Sara) pada tahun ini.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program Sara telah ditambah baik dengan peruntukan melonjak lebih lima kali ganda kepada RM700 juta berbanding perbelanjaan RM130 juta tahun lalu.
Menurut beliau, peruntukan lebih besar itu membolehkan kerajaan menambah jumlah penerima Sara kepada 700,000 berbanding 210,000 tahun lalu, malah nilai bantuan juga dinaikkan sekali ganda sehingga RM1,200.
“Alhamdulillah, sukacita saya maklum program subsidi bersasar Sara kembali bermula hari ini secara berperingkat. Transformasi ekonomi Malaysia bermula dengan mengangkat darjat rakyat.
“Penambahbaikan program Sara ini merupakan satu langkah awal untuk menangani kesenjangan kekayaan serta membina sebuah masyarakat yang inklusif seperti didambakan dalam kerangka Ekonomi Madani.
“Insya-Allah, kerajaan akan mengumum lebih banyak penambahbaikan kepada bantuan lain bagi mengangkat ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan,” katanya menerusi Facebook rasminya.