KEBELAKANGAN ini, sering dilihat menerusi media sosial paparan video majlis graduasi pelajar yang dianjurkan pihak sekolah di hotel mewah.
Bagi sebilangan pihak, anjuran majlis graduasi di hotel mewah adalah suatu hal yang membebankan ibu bapa yang kurang berkemampuan.
Mana tidaknya, ada segelintir daripada ibu bapa terpaksa membayar antara RM150 hingga RM200 semata-mata untuk memastikan anak mereka turut serta dalam majlis graduasi berkenaan.
Seperti yang dikongsi oleh seorang pelakon, Adrea Abdul, keengganan ibu bapa untuk membayar majlis sedemikian secara tidak langsung membuatkan anak-anak berasa tertekan dan malu kerana tidak menghadiri majlis berkenaan bersama rakan.
Menerusi video di TikTok, Adrea berkongsi pengalaman dan pandangannya berhubung situasi terbabit dan mendakwa ada sekolah yang mewajibkan murid menghadiri majlis graduasi itu tanpa berbincang dengan penjaga terlebih dahulu.
Tidak berpuas hati dengan keputusan pihak sekolah, dia mempersoal ketetapan itu kerana seolah-olah meminggirkan suara ataupun situasi semasa dihadapi kebanyakan waris yang tidak mampu kerana perlu mengutamakan komitmen lain yang lebih mendesak.
Kongsinya, lebih menggusarkan apabila ada ibu bapa yang ingin turut serta dalam majlis graduasi anak mereka itu, dikenakan bayaran yuran tambahan sekitar RM150 seorang.
“Keputusan guru besar untuk anjur majlis graduasi di hotel lima bintang seperti buat emotional blackmail (memeras ugut emosi terhadap ibu bapa serta murid). Nak tunjuk sekolah kita ‘have-have’ (kaya) di media sosial?
“Tetapi tidak pula anda fikir yang ada ibu bapa tak mampu? Tidak semua yang kerja elok. Lagi-lagi ibu bapa yang mungkin ada ramai anak, banyak komitmen… Mana mereka boleh keluarkan RM200. Kalau lima orang anak macam mana? Setiap tahun pula.
“Tak masuk akal langsung kerana seolah-olah menganiaya ibu bapa dan seperti emosi terasa seperti diperas ugut. Kalau tak bayar kesian pula anak aku sebab orang lain semua bayar.
“Yang lebih membuatkan situasi lebih buruk adalah mereka buat kumpulan WhatsApp. Ada ibu bapa murid di situ nyatakan ini dan majlis kena bayar banyak ini, ini (senarai) ibu bapa sudah bayar dan ini ibu bapa tak bayar (lagi).
“Ini membuatkan ibu bapa tertekan kerana orang lain sudah bayar tetapi aku tak bayar lagi,” ungkapnya.
@adreaabdul Tak masuk akal! Seriously tidak adil! Korang setuju atau tidak untuk sekolah rendah & menengah adakan graduation lunch or dinner di hotel 4,5 star dan kenekan bayaran 150-200 setiap pelajar! Gile lah! #kementerianpendidikanmalaysia #trending #tren #celotehadrea #karut #takmasukakal #tidakadil
Dalam pada itu, Adrea turut mempersoalkan pihak pentadbir sekolah yang tidak memilih tempat yang tidak memerlukan modal besar untuk menganjurkan majlis graduasi.
Katanya, majlis graduasi sekolah juga lebih jimat jika dianjurkan di dewan komuniti atau sekolah.
Dakwanya lagi, mungkin sikap mahu bersaing dan menunjuk-nunjuk segelintir sekolah membuatkan ada dalam kalangan ibu bapa termasuk guru tidak selesa dengan keputusan yang dibuat oleh guru besar.
Justeru, beliau menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) untuk masuk campur kerana merasakan penganjuran majlis graduasi di hotel mewah adalah langkah tidak munasabah.
“Kenapa tak buat di sekolah misalnya? Atau dewan komuniti. Jadi tak mahal. Kalau sekolah antarabangsa tak apa sebab mereka kaya dan tak kisah sangat bayar RM500.
“Kalau sekolah elit bolehlah mereka bayar tetapi kalau sekolah biasa, untuk anjur majlis luar biasa demi imej sekolah…Ia memang tidak munasabah.
“Ibu bapa juga ada yang merungut kerana anak mereka mesti nak (beli) baju baharu. Itu kena tambah duit lagi. Ia sekali gus menjadikan satu tekanan yang tidak perlu (ditanggung ibu bapa).
“Banyak hutang dan ibu bapa banyak komitmen lain yang nak bayar. Jadi nak keluarkan duit untuk benda tak masuk akal…Subahanallah. KPM perlu cakap sesuatu sebab perkara ini tidak munasabah untuk ibu bapa bayar duit untuk anak mereka hadir majlis graduasi,” ujarnya.