PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dinasihatkan agar menunda ‘Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza’ yang dijadualkan berlangsung pada Mac ini kepada satu tarikh lain.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor dalam kenyataan berharap penghibur tersohor itu dapat menganjakkan konsert berkenaan ke tarikh lain iaitu bukan beberapa hari menjelang 1 Ramadan yang jatuh pada 12 Mac.
Penganjuran konsert menghampiri bulan puasa disifatkan seolah-olah melakukan perbuatan yang melalaikan daripada mengingati Allah, selain tidak menghormati bulan suci itu.
Katanya lagi, umat Islam digalakkan mengambil peluang untuk menggandakan amal ibadat serta banyak melakukan kerja kebajikan.
Konsert Siti dijadualkan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Sejak dibuka untuk jualan, tiket konsert Siti kali ini habis terjual dalam tempoh kurang tiga jam, selepas dilancarkan pada 21 Disember tahun lalu.
Siti sebelum ini menyatakan konsert berkenaan sepatutnya berlangsung pada Julai 2023 tetapi terpaksa ditangguhkan sebaik mendapat tarikh baharu daripada Perbadanan Stadium Malaysia dan Axiata pada 9 Mac ini.