HomeBeritaOrang Asli rentung dalam Proton Saga di Tapah

Orang Asli rentung dalam Proton Saga di Tapah

TAPAH: Seorang mayat lelaki ditemukan rentung dalam insiden kebakaran sebuah kereta dekat Batu 23 Jalan Pahang, di sini pada Isnin malam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa yang berada dalam kereta jenis Proton Saga itu ditemukan rentung di bahagian tempat duduk belakang.

Beliau berkata, pihak bomba menerima panggilan pada jam 10.04 malam, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya jentera di lokasi mendapati, kereta itu musnah terbakar 50 peratus dan terdapat seorang lelaki Orang Asli rentung di dalamnya.

“Semasa kebakaran itu, didapati kereta tersebut diparkir di lokasi kejadian dan mangsa berada di bahagian tempat duduk belakang,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sabarodzi berkata, kebakaran terlebih dahulu dipadam oleh orang awam sebelum bomba tiba.

“Ketua operasi mengambil maklumat serta membantu polis bagi mengeluarkan mangsa,” katanya.

Katanya, mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan susulan dan operasi berkenaan dilaporkan tamat sekitar jam 11.36 malam Isnin.

Author

Pilihan Editor