JITRA: Seorang lelaki dipenjara sehari dan didenda RM4,000 selepas bertindak menumbuk anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Tasik Darul Aman, di sini, pada jam 4.04 petang, 22 November lalu.
JPJ Negeri Kedah dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah mengesan sebuah video tular berdurasi 1 minit 24 saat memaparkan sebuah lori Nissan Vanette, yang enggan berhenti semasa ditahan oleh anggotanya.
“Hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku ketika anggota bertugas sedang melakukan rondaan penguatkuasaan dan mengesan sebuah kenderaan yang mecurigakan.
“Pemeriksaan awal mendapati, terdapat tiga kesalahan iaitu Lesen Kenderaan Motor taman tempoh, tiada perlindungan insurans dan Perakuan Puspakom tamat tempoh,” jelas kenyataan itu.
Kenderaan tersebut telah diarahkan untuk berhenti namun pemandu tersebut enggan memberi kerjasama.
Ketika berjaya ditahan, suspek bertindak melakukan kekerasan jenayah, mengeluarkan kata-kata kesat dan menghalang penjawat awam daripada melakukan tugas.
“Satu laporan polis telah dibuat dan suspek berjaya ditahan dan didakwa di Mahkamah Majistret Jitra di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
“Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda sebanyak RM4,000,” tambah kenyataan itu.