HomeBeritaViralPemilik 'carwash' maki, halau pelanggan selepas didakwa patahkan kunci kereta

Pemilik ‘carwash’ maki, halau pelanggan selepas didakwa patahkan kunci kereta

SEORANG wanita berputih mata apabila kunci keretanya mengalami kerosakan, selepas kenderaannya dihantar di sebuah kedai cuci kereta di Taman Perling, Johor Bahru, Johor pada Ahad.

Lebih teruk, katanya, dia dan suaminya turut dimaki hamun dan dihalau gara-gara pemilik premis itu enggan bertanggungjawab atas kerosakan berkenaan.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Aeenz Mohd Ghazali berkata, kejadian itu bermula apabila dia membawa kereta jenis Proton Exora di premis tersebut dengan pakej premium.

Menurutnya, pakej itu menawarkan harga cuci kereta bernilai RM65 dan perkhidmatan menghapuskan lipas pada harga RM60.

Wanita itu mendakwa, keretanya berada dalam keadaan baik manakala kunci berada di tempat sepatutnya, ketika dia menyerahkan Proton Exora itu kepada premis berkenaan.

“Dia kata ambil masa sedikit dalam sejam lebih macam tu. Jadi, aku pun tinggal kereta dengan harapan kereta cantik dan bersinar lepas premium carwash.

“Masa aku ambil kereta, aku nampak kereta aku dah hidup lampu, jadi ini maknanya kereta aku dah di’start‘ enjin oleh carwashnya. Then, aku bayar amount macam tadi dan bawa kereta macam biasa.

“Selang 10 hingga 15 buah kedai, aku nak tutup enjin pergi kedai kawan aku dan masa inilah aku tahu kunci aku dah berderai. Cip, bateri dah berderai dari casing kunci. Ahh syudahh!” kongsinya.

Sejurus itu, wanita tersebut meminta suaminya yang dikenali sebagai Farid untuk datang ke lokasi kejadian bagi menyelesaikan perkara tersebut.

Suasana tegang bermula

Keadaan menjadi tegang apabila pemilik premis itu mendakwa bahawa, wanita tersebut yang menghidupkan enjin kereta terlebih dahulu sebaik kenderaan berkenaan selesai dicuci.

Padahal masa itu aku datang ambil kereta, enjin kereta pun dah start.

“Farid datang patah balik kat kereta jumpa aku, kata owner tu kata dia pass kunci dekat aku dan aku yang start sendiri kereta tu. Aku macam eh?” katanya hairan.

Pasangan suami isteri itu kemudian kembali semula ke premis terbabit bagi meminta penjelasan lanjut daripada pemiliknya.

Wanita itu berkata, mereka sama sekali tidak mahu memulakan pergaduhan, apatah lagi sebarang ganti rugi atas kerosakan pada kunci keretanya.

Katanya, mereka cuma berharap agar pemilik premis itu sama ada sekurang-kurangnya membuat permohonan, memaklumkan mengenai mana-mana pihak yang boleh membuat kunci baharu atau meminta kakitangan premis untuk memeriksa semula kerosakan tersebut.

Pemilik premis maki hamun, halau pelanggan

Sebaliknya, wanita itu berkata, pemilik premis bertindak biadab apabila menghalau mereka, meskipun suaminya sudah cuba berbincang secara baik.

Katanya, pemilik premis enggan bertanggungjawab atas sebarang kerosakan pada kenderaan berkenaan disebabkan ia sudah dibawa keluar dari kawasan terbabit.

“Siap ‘abang abang’ dengan dia. Yes, aku mengaku aku naik angin. Korang boleh tengok sendiri video sebab siapa tak naik angin bila kereta kau bagi elok, tapi dapat semula tak elok pada tangan kau.

“Dia cuba nak salahkan aku balik. Korang tahu kan kereta takkan hidup sendiri dan kalau tengok betul-betul video ni, dengar yang dia kata dia start enjin kereta aku. By the way, tiada langsung minta maaf atau simpati.

“Dan dia mati-mati blame aku yang start enjin kereta dan aku yang patahkan kunci. Takkan aku b***h sangat nak patahkan kunci padahal esok aku nak berjalan jauh? At least ada sikit rasa tanggungjawab untuk buat apa yang boleh sebab aku bagi 100 peratus kepercayaan aku untuk basuh kereta aku. Tapi, yang aku dapat hanyalah makian dan dia halau aku,” katanya.

Justeru, wanita tersebut menasihatkan orang ramai supaya melihat maklum balas pelanggan terlebih dahulu di Google, sebelum memutuskan untuk mencuci kereta di mana-mana premis.

Pada masa sama, wanita itu memuat naik video memaparkan aksi pemilik premis, yang bertindak memaki hamun dan menghalau suami isteri berkenaan.

Dia juga menafikan tujuan menularkan perkara itu adalah bagi merugikan premis tersebut, sebaliknya tidak mahu perkara sama berulang kepada orang lain.

“Kerugian buat kunci kereta RM450 + RM125 (cuci kereta) dan jumlahnya bernilai RM575. Aku anggap tak ada rezeki jelah.

By the way, aku tak sampai rumah lagi pun, macam dia mentioned (muat naik kenyataan) di hantaran Facebook dia. Aku selang beberapa buah kedai je. Laki aku dah suruh dia datang tengok sendiri.

“Dengan angkuh dia kata dia tak nak tengok. Dia tak salah dan tak nak bertanggungjawab. Kurang ajar botak ni. Sangat kurang ajar nak battle cakap tak salah lagi. Kau minta maaf je sudahlah. Suruh datang tengok pun macam minta sedekah,” katanya berang.

Laporan polis wanita itu yang dimuat naik di Facebook. – Foto: FB
Aenz Mohd Ghazali

Menerusi komen pada hantaran itu, wanita tersebut turut memuat naik laporan polis bagi mendapatkan keadilan berhubung perkara berkenaan.

Author

Pilihan Editor