HomeBeritaSambut baik keputusan ICJ, Malaysia tunggu prosiding genosid Israel akan datang

Sambut baik keputusan ICJ, Malaysia tunggu prosiding genosid Israel akan datang

CYBERJAYA: Pendirian Malaysia agar Israel bertanggungjawab atas kekejaman dan jenayah terhadap kemanusiaan dan genosid ke atas rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, disokong oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) .

Menurut Kementerian Luar (Wisma Putra), ICJ pada Jumaat memutuskan bahawa Israel mesti membenarkan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan disalurkan segera ke Gaza.

“Keputusan itu selaras dengan seruan Malaysia supaya penghantaran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin dapat dilakukan tanpa sebarang halangan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah Wisma Putra, Malaysia menyambut baik keputusan ICJ dalam kes yang dibawa oleh Afrika Selatan terhadap Israel di bawah Konvensyen Genosid 1948, dengan mengarahkan supaya Israel mengambil beberapa langkah.

Arahan itu termasuk Israel perlu mencegah genosid di Gaza, selaras dengan tanggungjawabnya di bawah Konvensyen Genosid.

Selain itu, Israel perlu memastikan tenteranya tidak lagi melakukan tindakan genosid, serta mencegah dan menghukum sebarang hasutan ke arah genosid

Malah, Israel juga harus membenarkan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan untuk memasuki Gaza.

Bukan itu sahaja, Israel perlu menghalang pemusnahan dan memastikan pemeliharaan bukti yang berkaitan dengan genosid.

ICJ turut mengarahkan Israel untuk mengemukakan laporan kepada ICJ mengenai semua langkah yang diambil untuk melaksanakan perintah tersebut dalam tempoh satu bulan.

Tambah Wisma Putra, Malaysia menantikan prosiding seterusnya yang akan meneliti dakwaan genosid dilakukan oleh Israel, selain akan terus menyokong permohonan Afrika Selatan di ICJ.

Malaysia turut mengulangi gesaan agar Palestin diterima sebagai negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) .

“Palestin juga perlu diiktiraf sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara,” katanya.

Pihak berkuasa kesihatan Palestin memaklumkan, sekurang-kurangnya 26,083 rakyat Palestin terbunuh manakala 64,487 lagi cedera sejak serangan rejim pengganas Israel pada 7 Oktober lalu.

Author

Pilihan Editor