MANCHESTER United berkemungkinan terpaksa membayar sebanyak £90,000 (RM526,911) seminggu, bagi menyingkirkan Jadon Sancho dari kelab itu.
Pemain sayap England itu dilihat tidak mempunyai masa depan di Old Trafford, berikutan perselisihan faham bersama pengendalinya, Erik ten Hag.
Lapor The Mirror, pemain berusia 23 tahun itu dijangka akan terlibat dalam jendela perpindahan pada bulan ini.
Antara kelab yang disebut-sebut sebagai destinasi seterusnya buat pemain itu untuk beraksi secara pinjaman adalah West Ham.
Malah, kemungkinan untuk mengembalikan Sancho pulang ke pangkuan Borussia Dortmund dilihat lebih realistik, setelah gergasi Bundesliga Jerman itu mengadakan perbincangan dengan United.
Dortmund optimis untuk mendapatkan perjanjian pinjaman selama enam bulan, manakala Sancho dilapor berminat dengan tawaran itu.
Sebelum ini, Sancho menemui prestasi terbaiknya bersama Dortmund apabila menyumbang sebanyak 50 gol dan 64 gol menerusi 137 penampilan.
Dortmund bersedia untuk mendapatkan khidmat Sancho secara tetap, sekiranya tempoh pinjaman dari Old Trafford itu berjaya ditamatkan.
United dilihat sangat terdesak untuk menyingkirkan Sancho sehingga sanggup membuat pembayaran sehingga 50 peratus daripada gaji mingguan penuh pemain itu yang bernilai £180,000 (RM1.1 juta).
Sementara itu, Sancho masih mempunyai baki dua setengah tahun bagi menghabiskan kontrak bersama United, yang ditandatangani dengan nilai £73 juta (RM427 juta) pada Julai 2021.
Sehingga kini, pemain itu hanya membuat 82 penampilan dan menyumbang sebanyak 12 gol di United.
Dia disingkirkan dari kesebelasan utama musim ini selepas enggan membuat permohonan maaf ke atas Ten Hag, selepas pertelingkahan antara mereka pada September tahun lalu.
Sancho menerusi media sosialnya mendakwa, Ten Hag hanya menggunakannya sebagai kambing hitam apabila pengurus itu menegaskan, alasan dia tidak dipilih ketika pertembungan di Stadium Emirates berpunca daripada persembahannya yang tidak memberangsangkan ketika sesi latihan.
Meskipun Sancho sudah memadam hantarannya, namun dia difahamkan masih kecewa dengan situasi itu dan enggan memohon maaf.
Sancho menyedari bahawa hubungannya dengan Ten Hag tidak akan dapat diperbaiki, manakala tumpuan utamanya ketika ini adalah disenarai tetap dalam kesebelasan utama pasukan bola sepak.
Pemain itu turut menyedari bahawa dia memerlukan lebih banyak minit permainan, sekiranya mahu sebaris dengan kesebelasan utama England kendalian Gareth Southgate untuk Euro pada musim panas.