HomeHiburan'Saya nak kurus bukan untuk nampak 'handsome' tapi untuk kesihatan'- Issey

‘Saya nak kurus bukan untuk nampak ‘handsome’ tapi untuk kesihatan’- Issey

PENYAMPAI radio Gegar, Issey Fazlisham menegaskan tindakannya menurunkan berat badan dan menjaga pemakanan bukanlah semata-mata untuk tampil kacak sebaliknya untuk mengelakkan penyakit ‘tiga serangkai’.

Memetik Gempak, Issey memaklumkan kemungkinan untuk mendapat penyakit itu tinggi, memandangkan ibu dan bapanya turut menghidap penyakit kencing manis, masalah jantung dan darah tinggi.

“Saya mula jaga makan dan mengamalkan gaya hidup sihat selepas mendapati kolesterol saya tinggi.

“Bila dapat tahu kolesterol berada di paras tidak normal, saya jadi takut sampai menggigil.

“Cuma saya belum sampai ke tahap yang perlu makan ubat. Jadi bila dapat tahu kolesterol tinggi, saya mula motivate diri saya untuk diet dan jaga pemakanan serta tidur,” ujarnya.

Tambahnya, kelihatan kacak selepas berjaya turunkan berat badan hanyalah bonus dan ia bukanlah sebab utama dia mahu tampil lebih kurus.

“Saya tolak gula dan makan ikut waktu. Selain itu, saya juga jaga waktu tidur. Sungguhpun kerja radio, tetapi saya perlu jaga masa tidur saya sebab diet berkesan kalau tidur cukup.

“Saya jaga makan nak kurus bukan untuk kelihatan kacak, tapi untuk kesihatan.

“Tapi begitulah, kalau kita dah tak ambil gula, banyak manfaat seperti kulit kita lebih cantik, belly fat tiada. Kalau pun saya tidak lagi serius jaga makan, berat saya tidak naik mendadak,” katanya.

Issey yang juga merupakan seorang suami dan ayah, berkata, penjagaan kesihatan itu amat penting.

“Apa yang boleh pantang, pantanglah. Kita lelaki, banyak tanggungjawab. Kalau kita sakit dan down, siapa nak bagi makan untuk anak-anak,” katanya lagi.

Sepanjang menjaga pemakanan, penyampai radio berusia 37 tahun yang pada mulanya mempunyai berat 72 kilogram (kg) kini berjaya menurunkan berat hampir 12 kg.

Author

Pilihan Editor