BUAT anda yang mempunyai haiwan peliharaan seperti kucing di rumah, pasti anda pernah berdepan situasi ‘si bulus’ makan tidak habis.
Tahukah anda bahawa situasi itu kemungkinan berlaku gara-gara misai yang ada di mukanya?
Berdasarkan perkongsian Public Health Malaysia (PHM), kucing mempunyai satu sifat semulajadi iaitu menjadi pemburu kecil di rimba yang hanya menikmati makanan dalam kuantiti kecil tetapi kerap.
“Perut kucing juga sangat kecil (sebesar bola ping pong) dan tidak boleh menampung makanan dalam kuantiti yang banyak serentak.
“Kucing juga mengalami ‘kelesuan misai’. Misai adalah bahagian yang cukup sensitif. Apabila misai kucing bergesel dengan bekas makanan, ia akan menyebabkan kucing berasa stres dan anxiety.
“Sebab itu mereka berhenti makanan dan hanya makan di bahagian tengah sahaja,” kongsi PHM.
Justeru, PHM menyarankan para ‘majikan’ diharap dapat mengubah bekas makanan kucing anda dengan menggunakan jenis leper supaya tidak bergesel dengan misainya.
