CYBERJAYA: Tindakan segelintir pihak yang mengkritik badan kehakiman tidak bermaksud untuk mencampuri urusan mahkamah.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, rakyat sebaliknya masih mempunyai hak dalam kebebasan bersuara selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Apatah lagi, Mohd Puad menegaskan bahawa, kekebalan badan kehakiman dalam negara mempunyai had tertentu.
Justeru, Mohd Puad berkata, Ketua Hakim Negara tidak wajar tersinggung apabila badan kehakiman menerima kritikan.
“Jalan terbaik ialah beri penjelasan. Jangan membisu.
“Di samping itu, kekebalan badan kehakiman sukar dilindungi oleh kebebasan media sosial. Maka lebih baik berpada-pada,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.
Terdahulu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dilapor berkata, badan kehakiman sering dipersalahkan oleh orang ramai, setiap kali individu berprofil tinggi dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan di mahkamah.
Namun, beliau menjelaskan, budi bicara untuk mendakwa dan tidak meneruskan prosiding adalah di bawah bidang kuasa pendakwa raya.