MELAKA: Sebuah pesawat latihan ringan Piper PA-28-181 dipercayai gagal mendarat dengan baik, menyebabkan tayar depan kenderaan itu tercabut dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di sini, petang Selasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, kejadian pada jam 3.07 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan terhadap mana-mana individu.
“Pesawat latihan dengan nombor pendaftaran 9M-ITX yang dikendalikan oleh International Aero Training Academy (IATAC) itu dipercayai gagal mendarat dengan baik, hingga menyebabkan tayar hadapannya tertanggal.
“Insiden ini melibatkan seorang juruterbang pelatih dan beliau dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Norazman berkata, pesawat ringan tersebut sudah dialihkan dari landasan pada jam 3.35 petang dan dibawa ke hangar berdekatan untuk pemeriksaan lanjut.
Beliau berkata, lapangan terbang itu kembali beroperasi pada jam 4.12 petang, selepas semua pemeriksaan keselamatan selesai dilakukan.
“Siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya.