HomeGlobalTipu ada objek asing pada hidangan, wanita licik ugut restoran dicekup

Tipu ada objek asing pada hidangan, wanita licik ugut restoran dicekup

SEORANG wanita ditahan selepas melakukan jenayah peras ugut dan meminta pampasan ke atas 200 restoran di seluruh China.

Lapor South China Morning Post, ugutan itu dibuat selepas wanita itu mendakwa kononnya dia menemui objek asing pada makanan yang dipesan secara dalam talian dari restoran terbabit.

Menurut polis Beijing, wanita dikenali sebagai Deng itu berasal dari Xian, dekat wilayah Shaanxi dan ditangkap pada akhir November lalu.

Beijing TV melaporkan, wanita itu pada mulanya membuat pesanan makanan untuk dibawa pulang dari restoran berbeza, sebelum menuntut pampasan dengan alasan terdapat objek asing pada makanannya.

“Objek itu termasuk lipas, rambut, lalat, dawai kokot, paku, skru dan pepijat,” tulis laporan itu.

Justeru itu, ada restoran yang memilih untuk membayar pampasan kepada wanita tersebut dengan menawarkannya sehingga 2,000 yuan (RM1,325), berikutan khuathir perniagaan terjejas akibat ulasan buruk suspek.

Penipuan Deng terbongkar selepas sebuah restoran di Beijing melaporkan ugutannya kepada pihak polis.

Ketika polis melakukan soal siasat di kediamannya, Deng yang berpura-pura tidak bersalah sebaliknya mempertahankan dirinya dan menegaskan dia tidak pernah berkunjung ke Beijing.

Namun, apabila polis mengemukakan bukti kukuh jenayahnya, wanita itu terus mengaku melakukan beberapa kesalahan peras ugut.

Deng berkata, dia telah membuat pesanan makanan hampir setiap hari sejak enam bulan lalu.

Bagi menutup jejaknya, wanita itu biasanya meminta penghantar makanan supaya meletakkan bungkusan di pintu pagar blok kediamannya.

Beberapa minit selepas makanan dihantar, wanita itu terus menghubungi restoran terbabit untuk membuat aduan mengenai objek asing yang terdapat pada hidangannya.

Wanita itu kemudian akan mengambil gambar seperti dakwaannya dan berkongsi dengan restoran terbabit.

Menurut polis, gambar itu sudah digunakan sebanyak beberapa kali.

Menerusi satu perbualan di aplikasi WeChat dengan sebuah restoran, Deng berpura-pura hamil dan memeras ugut premis itu kerana mengancam kesihatannya.

Setakat ini, masih belum dapat dipastikan hukuman yang bakal dihadapi wanita itu.

Polis Beijing turut membuat tangkapan ke atas 13 suspek lain yang melakukan jenayah sama membabitkan sebanyak 360 restoran.

Pada Disember tahun lalu, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh mahkamah Beijing, atas kesalahan memeras ugut sebanyak 4,000 yuan (RM2,650) dari beberapa restoran.

Lelaki itu menggunakan lipas yang dibelinya secara dalam talian, sebelum meletakkan serangga perosak tersebut pada makanannya.

 

Author

Pilihan Editor