HomeBeritaTunku Ismail dimasyhur Pemangku Sultan Johor mulai hari ini

Tunku Ismail dimasyhur Pemangku Sultan Johor mulai hari ini

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Pemangku Sultan Johor bermula Ahad.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan melantik Tunku Ismail sebagai Pemangku Sultan Johor.

“Sultan Ibrahim, Sultan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takhluk Johor Darul Takzim dengan nasihat Jumaah Majlis Diraja dan kuasa serta kehendak Fasal 9(1)(d) dan (3) Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 berkenan melantik Waris Takhta Kerajaan Johor, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Pemangku Sultan Johor bermula hari ini,” katanya.

Abdul Rahim memberitahu, pelantikan itu hendaklah berterusan untuk selama Sultan Johor melaksanakan kerja-kerja Yang di-Pertuan Agong.

“Duli Yang Maha Mulia Tuanku juga berkenan gelaran kehormat bagi Pemangku Sultan sebagai Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atau DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Istiadat pelantikan itu berlangsung pada jam 10 pagi di Balai Menghadap, Istana Bukit Serene di sini, berlangsung di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Author

Pilihan Editor