VAPE pakai buang akan diharamkan sebagai sebahagian daripada rancangan untuk menangani peningkatan jumlah golongan muda yang menggunakan vape, kata kerajaan United Kingdom (UK).
Langkah juga akan diperkenalkan untuk mengelakkan vape dipasarkan kepada kanak-kanak dan menyasarkan jualan bawah umur.
Angka daripada badan amal Tindakan Merokok dan Kesihatan (ASH) mencadangkan 7.6 peratus daripada kanak-kanak berumur 11 hingga 17 tahun kini menggunakan vape secara kerap atau sekali-sekala, meningkat daripada 4.1 peratus pada 2020.
Larangan itu dijangka diperkenalkan di seluruh UK, kata kerajaan.
Perdana Menteri, Rishi Sunak dijangka menjelaskan rancangan itu semasa lawatan ke sebuah sekolah pada Isnin, lapor BBC.
“Seperti mana-mana ibu bapa atau guru tahu, antara trend paling membimbangkan pada masa ini ialah peningkatan vape dalam kalangan kanak-kanak, jadi kita mesti bertindak sebelum ia menjadi endemik,” katanya dalam satu kenyataan.
Ia berikutan pengumuman tahun lalu mengenai larangan penjualan rokok kepada sesiapa yang lahir pada atau selepas 1 Januari 2009 sebagai sebahagian daripada percubaan untuk mewujudkan generasi bebas asap rokok.
Adalah menyalahi undang-undang untuk menjual vape kepada sesiapa di bawah umur 18 tahun, tetapi kerajaan berkata, vape pakai buang – selalunya dijual dalam pembungkusan yang lebih kecil dan lebih berwarna daripada yang boleh diisi semula – adalah pemacu utama di sebalik peningkatan yang membimbangkan dalam penggunaan vape dalam kalangan belia.
Ia masih belum jelas bila larangan itu akan diperkenalkan, tetapi ia boleh dikemuka menggunakan undang-undang sedia ada yang direka untuk melindungi alam sekitar.
Penyokong kempen tersebut telah lama berhujah bahawa vape pakai buang adalah membazir dan bahan serta bahan kimia yang digunakan untuk membuatnya, termasuk bateri litium yang digunakan, menjadikannya sukar untuk dilupuskan dengan selamat.
Setelah tarikh larangan ditentukan, peruncit akan diberi masa enam bulan untuk melaksanakannya.
Perubahan terkini juga akan memperkenalkan kuasa untuk menghentikan vape yang boleh diisi semula dijual dalam perisa yang dipasarkan kepada kanak-kanak dan memerlukan ia dihasilkan dalam pembungkusan yang lebih jelas dan kurang menarik.
Kerajaan juga akan dapat memberi mandat supaya kedai mempamerkan vape yang boleh diisi semula jauh daripada pandangan kanak-kanak dan jauh daripada produk lain yang mungkin mereka beli, seperti gula-gula.
Perundingan awam selanjutnya akan dilakukan untuk memutuskan perisa mana yang harus diharamkan dan cara vape yang boleh diisi semula akan dijual, kata kerajaan.
Antara perisa vape mesra kanak-kanak yang ada pada masa ini adalah yang diinspirasikan daripada kuki, jem dan minuman tenaga.
Untuk membantu menghentikan jualan bawah umur, denda tambahan akan dikenakan untuk mana-mana kedai di England dan Wales yang ditangkap menjual vape secara haram kepada kanak-kanak.
Vape alternatif seperti kantung nikotin – kantung putih kecil yang diletakkan di antara bibir dan gusi – juga akan diharamkan untuk kanak-kanak. Kantung tersebut mengeluarkan nikotin tetapi tidak mengandungi tembakau, jadi pada masa ini boleh dijual secara sah kepada bawah 18 tahun.
Walaupun vape adalah kurang berbahaya daripada merokok, ia belum wujud cukup lama untuk risiko jangka panjangnya diketahui, menurut National Health Service (NHS).
Kerajaan berkata, hampir 70 peratus responden menyokong pengharaman vape pakai buang.