HomeBeritaPolitikZahid akui tiada maklumat tambahan derma jutaan ringgit

Zahid akui tiada maklumat tambahan derma jutaan ringgit

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan derma RM500 juta dan RM750 juta, seperti dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, maklumat berkenaan derma tersebut hanya diketahui beliau menerusi laporan media.

“Saya tidak ada maklumat tambahan mengenai perkara itu. Saya hanya membaca kenyataan Perdana Menteri melalui media,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Media sebelum ini melaporkan, Anwar dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, Istana Negara tidak akan terbabit dalam sebarang percaturan politik.

Anwar juga dipetik berkata, seandainya ada cadangan mana-mana pihak untuk menyampaikan derma sebanyak RM500 juta atau RM750 juta, ia hendaklah disalurkan terus kepada asnaf dan golongan miskin dalam negara.

Kenyataan Anwar itu mengundang gesaan pembangkang, yang mahu beliau menjelaskan maksud di sebalik dakwaan derma berkenaan.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, dilapor berkata, kenyataan Perdana Menteri tanpa memberi sebarang penjelasan lanjut berhubung derma itu telah menimbulkan keraguan.

Author

Pilihan Editor