TERDAPAT banyak bukti yang ditunjukkan oleh penyelidik bahawa kesihatan tubuh badan kita sangat bergantung kepada senaman yang berterusan.
Menurut artikel dalam portal LiveLoveFruit, dengan melakukan senaman secara rutin, anda mampu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular, barah, kegemukan, kencing manis, tekanan perasaan dan pelbagai lagi penyakit lain.
Namun masih ramai di antara kita yang masih memberi pelbagai alasan untuk tidak melakukan senaman.
1. Terlalu sibuk untuk bersenam
Selalunya, bila kita tidak mahu meluangkan masa untuk melakukan sesuatu, kita akan terus kata bahawa kita sangat sibuk. Kononnya kalau kita tidak sibuk sangat, kita akan ada masa untuk bersenam.
Tetapi, bila difikirkan balik, sibuk sangatkah anda sampai tak ada masa langsung, walau 15 minit, untuk bersenam? Sebenarnya anda ada 15 minit itu untuk bersenam, cumanya kita sering diberitahu bahawa jika kita tidak luangkan sekurang-kurangnya satu jam untuk bersenam, ianya tidak berfaedah.
Realitinya, meluangkan masa untuk sedikit senaman dapat memberikan kebaikan dalam kesihatan secara umum. Anda boleh melakukan beberapa senaman pendek 10 minit setiap hari. Yang pentingnya, anda jadikan senaman sebagai keutamaan.
2. Yuran keahlian gimnasium mahal
Jika bajet anda kecil dan anda tidak mahu terikat dengan yuran keahlian gimnasium, anda boleh bersenam di taman rekreasi. Ada taman yang mempunyai peralatan asas gimnasium yang anda boleh gunakan.
Jika tidak, anda boleh sahaja berjoging dan gunakan perlatan di taman permainan untuk melakukan beberapa jenis senaman ringan.
3. Malu nak bersenam di depan orang
Rasa malu atau rendah diri boleh menyebabkan seseorang itu susah untuk bersenam di tempat awam, sama ada di gimnasium atau di taman rekreasi.
Begitu pun, anda boleh atasi halangan itu dengan bersenam di rumah, dengan mengikut rutin senaman percuma di YouTube atau oleh
jurulatih peribadi berbayar.
Tapi sebenarnya, dalam kebanyakan kes, tidak ada orang yang akan memerhatikan anda bersenam. Walaupun ada kes orang yang mentertawakan orang sedang bersenam, ia hanya kes terpencil, kebanyakan orang tidak bersikap begitu.
4. Bersenam amat membosankan
Bagi yang mengatakan bersenam adalah membosankan, cuba lihat semula senaman yang anda lakukan. Sebenarnya banyak jenis senaman yang menarik dan anda tidak ada masa untuk berasa bosan.
Senaman ketahanan seperti berlari atau menggunakan mesin senaman elips boleh menyebabkan anda bosan tetapi dengan kemajuan teknologi, anda boleh letak telefon pintar anda di hadapan dan tonton apa sahaja yang anda suka sambil bersenam.
Anda juga boleh mendengar podcast, lagu dan juga buku audio untuk menceriakan rutin senaman anda.
Jika jenis senaman yang anda lakukan itu agak membosankan, anda boleh sahaja melakukan jenis senaman lain seperti menari atau memanjat tembok. Pilihan di tangan anda.
5. Bersenam menyakitkan badan
Apabila badan anda sakit, anda hanya mahu duduk dan berehat. Sebenarnya, duduk tidak berbuat apa-apa boleh menyebabkan badan anda lebih sakit.
Jika anda menggunakan senaman sebagai cara untuk mengawal kesakitan, elok lakukan senaman berimpak rendah. Anda boleh lakukan senaman kardio berimpak rendah seperti berenang, guna mesin senaman elips, mengayuh basikal dan aerobik dalam air. Atau
anda boleh melakukan yoga untuk meningkatkan kelenturan dan keseimbangan tubuh.
6. Tiada motivasi untuk bersenam
Motivasi adalah punca utama orang mula bersenam dan juga berhenti bersenam. Ramai orang menunggu rasa bersemangat untuk mula bersenam. Apa yang mereka tidak faham adalah, senaman itu sendiri adalah penggalak semangat.
Apabila anda bersenam secara tetap, anda akan dapat lihat tubuh anda berubah lebih baik dan catat perubahan itu kerana ia akan terus merangsang semangat anda. Dengan melakukan senaman, anda dapat merangsang semangat anda sendiri.
Bagi merangsang semangat anda untuk terus sihat, anda boleh lakukan perkara yang membantu senaman anda, dengan mendapat tidur yang cukup dan mengikut rutin sihat yang berkesan untuk anda.
7. Anak-anak masih kecil untuk saya bersenam
Jika anda mempunyai anak, eloklah anda libatkan anak-anak dalam sesi senaman anda.
Anda boleh berjalan dan bermain di taman dengan anak-anak, buat senaman tarian dan lain-lain jenis senaman yang boleh melibatkan anak-anak anda.
Ia bukan sahaja bagus kerana anda dapat bersenam sambil menjaga anak-anak anda, tapi juga mendidik mereka kepentingan senaman dalam hidup mereka.
Akhir kata, bersenamlah walau sekejap setiap hari kerana kebaikannya tersangatlah banyak untuk kesihatan tubuh dan mental anda.