HomeBeritaBersatu cabar Suhaili kosongkan kerusi Parlimen

Bersatu cabar Suhaili kosongkan kerusi Parlimen

CYBERJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencabar Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman untuk segera mengosongkan kerusi Parlimen Labuan yang disandangnya ketika ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Afif Bahardin berkata, Bersatu mempunyai ramai lagi tokoh yang mampu untuk mewakili dan menjaga kebajikan rakyat Labuan, meskipun terpaksa berdepan dengan pelbagai bentuk tekanan dan intimidasi daripada pentadbiran Perdana Menteri dan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, Bersatu akan memastikan Ahli Parlimennya yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengosongkan kerusi walau dengan apa cara sekali pun.

“Kami akan menggerakkan apa saja cara dan kaedah di dalam lingkup perundangan dan politik bagi memastikan kerusi Parlimen Labuan dan Parlimen lain dapat dikosongkan.

“Ia seperti yang dimaktub di dalam Akta Anti Lompat Parti bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil di dalam tempoh terdekat ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, Suhaili yang digantung keahlian enam tahun oleh Bersatu, mencabar parti itu memecat Ahli Parlimennya yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Afif mengucapkan penghargaan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberi kepercayaan kepada beliau menggalas tugas sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.

Justeru, beliau akan menggunakan kesempatan tersebut untuk memperkukuhkan hala tuju dan asas perjuangan parti, selain terus menjuarai isu rakyat, terutamanya di dalam agenda membela kebajikan rakyat.

“Saya dan rakan-rakan akan menggerakkan satu inisiatif bagi mendekati golongan muda, terutamanya di kalangan profesional muda dan mahasiswa bagi memperjelaskan prinsip perjuangan parti dan memperkenalkan tokoh-tokoh pimpinan muda di dalam Bersatu kepada masyarakat.

“Inisiatif ini bermatlamat bagi mengalakkan lebih banyak penyertaan di kalangan profesional muda dan mahasiswa di dalam wadah perjuangan murni parti Bersatu,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor