HomeBeritaDua beranak ditemukan lemas dalam kolam

Dua beranak ditemukan lemas dalam kolam

TAWAU: Seorang wanita bersama anaknya yang berusia tujuh tahun ditemukan maut, dipercayai lemas di dalam sebuah kolam berhampiran kediaman mereka di Kampung Nasib Kita, di sini, pada Selasa.

Mayat dua beranak termasuk ibu dalam lingkungan umur 40-an itu, ditemukan penduduk kampung dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada orang awam.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat, manakala pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan.

“Kita masih menunggu hasil laporan bedah siasat bagi menentukan sama ada kes itu membabitkan unsur jenayah atau tidak.

“Selepas keputusan diperoleh, pihak polis akan mengklasifikasikan kes itu sama ada sebagai mati mengejut (SDR) atau kes bunuh,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta tampil ke mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, dua rakaman video masing-masing berdurasi 25 saat dan 37 saat berhubung kejadian itu tular di media sosial.

Author

Pilihan Editor