HomeBeritaGaji rendah bukan faktor utama anggota polis terlibat rasuah - KPN

Gaji rendah bukan faktor utama anggota polis terlibat rasuah – KPN

KLANG: Kadar gaji yang rendah bukan menjadi penyebab utama anggota polis terlibat dengan rasuah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebaliknya ia hanya salah satu faktor dan ia boleh dilihat dari segi peratusan jumlah anggota pangkat rendah yang terlibat.

“Kalau kata gaji konstabel ini sedikit dan dia terlibat dengan rasuah, saya boleh bagi peratusan berapa yang terlibat dengan rasuah ini, tapi kita biasa dengar berita ada pengarah syarikat atau mana-mana agensi ada ditangkap berkaitan rasuah, dan adakah mereka ini gaji sedikit.

“Itu saya katakan, sekiranya kita katakan soal gaji jadi faktor seharusnya kita perlu beri pendedahan maklumat kepada pegawai dan anggota agar menolak rasuah,” katanya dalam sidang akhbar ketika program Walkabout Pencegahan Jenayah di Pasar Pandamaran dekat sini pada Ahad.

Menurutnya, gaji anggota turut berbeza dari segi taraf kehidupan mengikut kawasan mereka ditempatkan.

“Kalau kata gaji konstabel rendah, dia masuk dengan gaji RM1,441 ditambah dengan elaun dan lain-lain dapatlah RM2,500.

“Duduk di Kuala Lumpur memang miskin bandar, tapi kalau dia duduk di kawasan seperti Belaga, Beluran, Besut, Kuala Nerang serta kawasan-kawasan luar bandar gaji itu banyak, dan dapat elaun lagi iaitu elaun kesusahan, jadi soal gaji itu salah satu faktor,” katanya, lapor Sinar Harian.

Menurut Razarudin, beliau bersetuju berkenaan soal gaji itu namun yang penting adalah dalam diri setiap anggota dan pegawai itu yang perlu ditanam sifat menolak rasuah.

“Memang ada disebut berkaitan kadar gaji yang rendah, itu sebenarnya salah satu faktor, kalau banding dengan Singapura memang gaji mereka tinggi, polis mereka tiada rasuah, itu mengikut negara mereka yang kecil.

“Sebaliknya di Malaysia, kita mempunyai 137,000 anggota serta pegawai dan akan bertambah menjadi lebih 140,000 kalau dicampur dengan kemasukan baharu pada tahun ini, itu salah satu darinya,” katanya.

Tambahnya, keyakinan masyarakat kepada pihak polis harus sentiasa diperhebatkan dengan menjalankan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan.

“Kita tak mahu gusarkan masyarakat dengan isu sebegini, seolah masyarakat beranggapan bahawa polis ini kalau tiada pun tidak mengapa, mereka ambil khidmat pengawal keselamatan untuk gantikan polis,” katanya.

Author

Pilihan Editor