“SAYA yakin dan masyarakat juga tahu, apa yang dilakukan ini hanya untuk ajak orang ramai pergi solat. Ini juga (solat) bukanlah panggilan daripada saya.”
Itulah yang diungkap selebriti, Alif Satar ketika mengulas mengenai tindakan segelintir individu yang menjadikan kempen #GengSubuhMacamJumaat digerakkan sebagai ‘mainan’ politik.
Alif, 34, berkata, kempen yang digerakkan sejak November tahun lalu itu tidak sewajarnya menjadi isu atau topik perdebatan dalam kalangan masyarakat memandangkan menunaikan solat di masjid adalah antara perkara yang dituntut dalam agama Islam.
“Tiada siapa boleh ‘claim’ (kempen solat di masjid), inilah keindahan Islam. Memang tuntutan agama dan kita perlu pergi solat subuh. Saya tak kisah kalau ada yang bercakap apa-apa, terserah kepada kalian dan hanya Allah tahu.
“Apa yang penting, saya hanya mahu solat di masjid. Saya galakkan semua orang untuk solat subuh berjemaah di masjid.
“Walaupun berbeza pendapat dan latar belakang, satu perkara yang orang boleh setuju adalah solat subuh di masjid berjemaah,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Tambah pelakon filem Anak Perjanjian Syaitan 2 itu, dia hanya mahu solat berjemaah di masjid dan menggalakkan orang ramai untuk turut melaksanakannya.
“Walaupun berbeza pendapat dan latar belakang, satu perkara yang orang boleh setuju adalah solat subuh di masjid berjemaah.
“Sudah tentu kita mahu kekalkan kesucian masjid ini. Masjid juga adalah tempat untuk masyarakat berkumpul. Islam juga adalah agama berkasih sayang dan tidak membandingkan kaum.
“Tidak kisah fahaman politik apa yang dipegang, semua orang boleh datang solat subuh di masjid,” ujarnya.
Sebelum ini, timbul perdebatan dalam kalangan warga net mengenai dakwaan kempen #GengSubuhMacamJumaat tidak pernah dilaksanakan ketika tampuk pemerintahan terdahulu.