MERCUN sering kali disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab, termasuk mengimport dan menjual semula bahan letupan itu dengan harga tidak masuk akal.
Lebih teruk, ada juga yang tergamak membakar bahan berbahaya itu di kawasan terbuka sehingga merisikokan keselamatan awam.
Baru-baru ini, mercun yang dibakar di tengah jalan berhampiran lampu isyarat di Jalan Masjid, Petaling Jaya, Selangor menimbulkan kekhuatiran pengguna mengenai keselamatan masing-masing.
Menerusi video tular, seorang penunggang motosikal yang tidak memakai topi keledar keselamatan terpaksa berhenti dan menunggu sehingga bahan letupan itu habis terbakar sebelum berlalu pergi.
Turut menjadi saksi kejadian itu adalah beberapa kenderaan yang berada di belakang motosikal terbabit.
Malah, sekumpulan penunggang motosikal lain juga dilihat berada di tepi jalan berhampiran dengan lokasi mercun itu dibakar.
Kejadian berlaku di Jalan Masjid, Petaling Jaya….
Mengapa harus di tengah jalan? pic.twitter.com/gKTNEIPWXc
— MYNEWSHUB (@mynewshub) February 1, 2024
Namun, identiti individu yang membakar mercun itu masih lagi menjadi tanda tanya.
Tiada sebarang kemalangan jiwa dilihat berlaku ketika kejadian.
Tidak sekadar merisikokan keselamatan orang ramai, malah sisa bahan letupan yang dibakar itu juga dilihat hanya menjadi sampah dan mencemarkan alam sekitar.
Insiden itu seterusnya menyebabkan rata-rata pengguna media sosial berang, seterusnya menggesa pihak berkuasa membuat siasatan serta mengambil tindakan ke atas individu yang bertanggungjawab.
Tulis @riyadolly90: “@PDRMsia dah boleh siasat video berkenaaan. Benda ini tidak boleh dinormalisasikan ya. Tidak kisah siapa pun.
Tambah @Cody_Castelmore: “Well, the government should take action, if the police fails to take action, first. (Kerajaan perlu ambil tindakan sekiranya pihak polis gagal untuk bertindak terlebih dahulu).”
Ujar @tuah310857: PDRM… record (rakam) dan tangkap.”
Setakat berita ini ditulis, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.