BALING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut dipercayai ditimpa dinding batu bata dalam pembinaan di bahagian dapur rumahnya di Kampung Padang Lalang Besah, Mukim Tawar, di sini pada Isnin.
Kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu mengakibatkan mangsa, Wan Abdul Aziz Wan Mohd Sholehhuddin mengalami cedera parah pada anggota badan dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tawar.
Sementara adik mangsa, Wan Mohd Baihaqi, 4, yang turut ditimpa runtuhan dinding yang baru dibina itu, dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, insiden terbabit berlaku ketika dua beradik itu bermain di kawasan tersebut.
Katanya ketika kejadian, ibu mereka sedang memasak di kawasan berhampiran yang terletak kira-kira satu meter.
“Ibu mangsa dikatakan sudah beberapa kali memberi amaran dan menasihatkan dua anaknya itu supaya tidak bermain di sekitar kawasan pembinaan tambahan ruang dapur yang sedang dibina suaminya.
“Wanita terbabit juga menyuruh kedua-dua anaknya itu masuk ke dalam rumah tetapi mereka didakwa tidak mengendahkan kata-katanya dan bermain seperti biasa di luar rumah sebelum dia terdengar bunyi yang sangat kuat dari tempat mangsa bermain,” katanya, di sini hari ini.
Tambah Shamsudin, kejadian mula disedari si ibu selepas terdengar dentuman kuat menyebabkannya bergegas menghampiri dua beradik itu.
Bagaimanapun, ketika itu, seluruh badan anaknya sudah ditimpa dinding bata.
“Adik mangsa turut ditimpa dengan batu-bata dinding berkenaan di belakang badan namun hanya mengalami cedera ringan,” maklumnya.
Tambah beliau, mayat kanak-kanak itu kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.
Jelasnya lagi, polis sudah merakam percakapan ibu bapa kanak-kanak terbabit untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.