CYBERJAYA: Anak perempuan Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa kecewa berikutan bekas Perdana Menteri itu tidak mendapat pengampunan penuh untuk dibebaskan serta-merta.
Nooryana Najwa Najib berkata, ini kerana pihaknya dan ahli keluarga kekal dengan pendirian dan yakin bahawa ayahnya itu tidak bersalah.
“Walaupun kami menghargai pengurangan hukuman daripada 12 tahun kepada enam tahun yang diputuskan oleh Lembaga Pengampunan setelah pertimbangan pendapat dan nasihat, kami berasa kecewa kerana Datuk Seri Najib Razak tidak mendapat pengampunan penuh dan dibebaskan serta-merta,” katanya melalui hantaran Instagram.
Menurutnya, mereka yang mengikuti kes SRC secara dekat sudah tentu tahu dan bersetuju dengan penghakiman oleh Ketua Hakim Sabah dan Sarawak tahun lalu bahawa ketidakadilan yang besar berlaku ke atas Najib dan keputusan yang betul ialah beliau wajar dilepaskan dan dibebaskan.
Terdahulu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, memberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalani Najib sejak 2022, sekali gus menyaksikan beliau bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Selain tarikh pembebasan awal itu, Najib turut dikehendaki membayar denda yang dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Berita mengenai isu pengampunan Najib berlegar dalam media sosial dan dilaporkan media massa sejak beberapa hari lalu, dengan desas-desus mengatakan bekas Perdana Menteri itu sudahpun diputuskan nasibnya oleh Lembaga Pengampunan.