SHAH ALAM: Mayat seorang lelaki lengkap berpakaian ditemukan dalam keadaan terlangkup dan terapung di tasik Seksyen 14, dekat sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu pada kira-kira jam 8.19 pagi.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, mangsa yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dipercayai merupakan warganegara asing, berikutan tiada bekas suntikan Bacillus Calmette-gurin (BCG) di bahu sebelah kirinya.
“Pemeriksaan oleh pihak forensik Selangor ke atas badan mangsa mendapati, terdapat kesan luka melecet pada leher di sebelah kanan dan kiri serta luka kecil pada pipi dan hidung.
“Tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuh mangsa yang boleh menyebabkan kematiannya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Iqbal berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) manakala mayat mayat mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam, untuk tujuan bedah siasat pada Khamis bagi mengenal pasti punca kematian.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes tersebut diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Fazlin Rasli di talian 012-5113584.