HomeHiburan'Musa trauma, sakit' - Mizz Nina

‘Musa trauma, sakit’ – Mizz Nina

SHAH ALAM: Aktivis kemanusiaan, Mizz Nina mendakwa anak angkatnya, Musa mengalami trauma selepas dibawa keluar dari rumah tanpa keizinan dan kebenarannya selama lebih tiga minggu.

Mizz Nina atau Shazrina Azman, 44, berkata, Musa berdepan trauma selepas dipercayai diambil oleh bekas suaminya yang juga penyanyi dan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh.

“Bayangkan budak sekecil dibawa keluar dari rumahnya. Dia trauma sebab terpaksa berjauhan dengan keluarga, kawan-kawan dan jiran yang memang rapat dengannya.

“Musa trauma sebab tercari-cari emaknya, tapi tak boleh nak jumpa. Dia mengalami ketakutan yang amat sangat dan begitu juga saya, sangat risaukan Musa,” katanya seperti dilapor BH Online pada Rabu.

Dalam pada itu, Mizz Nina turut memaklumkan, dia ada membawa Musa bertemu dengan pakar psikiatri.

“Ketika Musa pulang ke rumah, dia mengalami sakit seperti cirit-birit, muntah, kukunya panjang dan kotor.

“Saya dan suami segera bawa Musa berjumpa dengan beberapa doktor dan pakar psikiatri untuk melakukan pemeriksaan ke atas kesihatan fizikal dan mentalnya,” katanya ketika ditemui pemberita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, pagi tadi.

Malah katanya, kejadian terbabit membuatkan Musa hilang kepercayaan terhadapnya.

“Sebagai contoh, kalau saya nak bawa keluar, Musa akan takut dan berpegang erat kepada saya.

“Musa seolah-olah seperti hilang kepercayaan dan merasakan saya takkan kembali kepadanya,” ujarnya.

Susulan itu, dia menegaskan tiada keperluan untuk Noh menuntut hak penjagaan bersama.

Dalam pada itu, suaminya, Essam Muhammad menegaskan untuk tidak mahu membabitkan Musa dalam permasalahan memandangkan kanak-kanak itu masih kecil.

“Tiada anak yang ingin membesar bersama ibu bapa yang bercerai. Kenapa Musa yang tidak stabil perlu terbabit dalam keadaan begini?

“Bekas suami (Noh) bukan bapa kandung dan namanya juga tiada dalam dokumen rasmi. Dia (Noh) juga sudah menandatangani SD (akaun berkanun) selepas bercerai dan tiba-tiba, masa kami berkahwin, dia datang nak ambil Musa.

“Musa bukan boleh dibuang sesuka hati. Hormatinya sebagai manusia dan kanak-kanak,” kata Essam.

Sebelum ini, Mizz Nina mendakwa Noh membawa keluar anak angkatnya, Musa tanpa kebenaran dan pengetahuannya.

Mizz Nina mengakui ia disifatkan sebagai satu pengkhianatan dan memberikan kesan emosi kepadanya, apatah lagi, dirinya adalah ibu susuan Musa dan tidak pernah berjauhan dengan anak angkatnya selama itu.

Mizz Nina kemudiannya mendapatkan perintah mahkamah dan berjaya mendapatkan Musa kembali.

Author

Pilihan Editor