ISRAEL terus menghadapi tekanan dalam arena sukan akibat serangan berterusan ke atas Genting Gaza.
Kali ini, pasukan bola keranjang wanita Ireland enggan berjabat tangan dengan pemain Israel sebelum perlawanan kelayakan EuroBasket 2025 di Latvia, berikutan tuduhan antisemitisme terhadap mereka oleh pemain Israel.
Menjelang perlawanan, Persatuan Bola Keranjang Ireland mengeluarkan kenyataan pada Khamis mengatakan ia telah memaklumkan FIBA Eropah sehari sebelum itu bahawa pemainnya tidak akan mengambil bahagian dalam aturan biasa sebelum perlawanan dengan pasukan Israel, lapor The Palestine Chronicle.
“Ini termasuk pertukaran hadiah, berjabat tangan rasmi sebelum atau selepas perlawanan, manakala pemain kami akan berbaris untuk lagu kebangsaan di tepi bangku simpanan kami, bukannya di tengah gelanggang. Persatuan Bola Keranjang Ireland menyokong penuh pemain kami dalam keputusan mereka,” kata kenyataan itu lagi.
Pada Rabu, pemain bola keranjang Israel, Dor Sa’ar menggelar pasukan Ireland ‘agak antisemitik’, dalam temu bual yang diterbitkan oleh laman web Persatuan Bola Keranjang Israel.
Walaupun Ireland tewas kepada Israel, ketua jurulatih Ireland, James Weldon memuji pemainnya kerana kematangan yang luar biasa dalam cara mereka mengendalikan minggu yang penuh tekanan.
Persatuan Bola Keranjang Ireland dilaporkan berdepan gesaan untuk memboikot perlawanan menentang Israel.
“Ireland akan didenda sehingga €80,000 oleh FIBA Eropah, jika mereka gagal memenuhi perlawanan menentang Israel, dengan denda tambahan €100,000 jika perlawanan timbal balik tidak dimainkan,” kata persatuan sukan itu.
Menurutnya, selain itu, peraturan pertandingan FIBA Eropah akan menyaksikan Ireland dikeluarkan daripada Kelayakan EuroBasket Wanita FIBA 2025 dan kempen kelayakan seterusnya, yang membawa kepada larangan selama lima tahun.