SEORANG pemain bola sepak maut disambar petir dalam kejadian di Stadium Siliwangi, dekat Bandung, Indonesia pada Sabtu.
Menurut NDTV, pemain yang dikenali sebagai Septin Raharja antara yang lincah beraksi dalam perlawanan persahabatan antara 2 FLO FC Bandung dan FBI Subang.
Video memaparkan detik-detik pemain berusia 35 tahun itu disambar petir pada kira-kira jam 4.20 petang waktu tempatan menjadi tular di media sosial.
Pemain yang berasal dari Subang, dekat Jawa Barat itu kemudian dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia tidak beberapa lama kemudian.
Analisis Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia memaklumkan bahawa, petir datang menyambar pada hanya jarak 300 meter (m) tepat mengenai pemain tersebut.
Namun, ini bukanlah kali pertama pemain bola sepak di negara itu disambar petir ketika sedang beraksi dalam sesuatu perlawanan.
Pada 2023, seorang remaja di Bojonegoro, Jawa Timur disambar petir ketika aksi Piala Soeratin B-13.
Dia yang mengalami serangan jantung segera dibawa ke hospital dan sedar selepas 20 minit menerima rawatan.