HomeBerita193 kotak mercun bernilai RM212,000 dirampas 

193 kotak mercun bernilai RM212,000 dirampas 

BATU PAHAT: Sebanyak 193 kotak berisi pelbagai mercun dan bunga api pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM212,000 dirampas dalam serbuan yang dilakukan di sebuah rumah tinggal di Taman Harmoni, Parit Sulong pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, serbuan melibatkan kerjasama pasukan polis Marin Wilayah 2 melalui hasil risikan selama sebulan.

“Sepasukan polis Marin Wilayah 2 bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, telah melakukan serbuan di sebuah rumah tinggal di Taman Harmoni, Parit Sulong.

“Ketika serbuan dibuat, tidak ada sesiapa yang ditemui di rumah tinggal berkenaan dan kita terpaksa pecahkan mangga kunci untuk masuk.

“Hasil serbuan polis telah menemui dan merampas sebanyak 193 kotak pelbagai jenis yang didalamnya mengandungi pelbagai mercun dan bunga api dengan anggaran bernilai RM212,000,” katanya lapor Sinar Harian.

Susulan itu, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1967.

Ismail berkata, jika sabit kesalahan boleh didenda sampai RM10,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya lagi, pemilik rumah tinggal berkenaan termasuk saksi-saksi juga dikehendaki polis bagi membantu siasatan.

Author

Pilihan Editor