HomeBerita4,752 kawasan tidak buat pendaftaran PADU

4,752 kawasan tidak buat pendaftaran PADU

CYBERJAYA: Sebanyak 4,752 kawasan di seluruh Malaysia telah dikenal pasti tidak mempunyai sebarang pendaftaran di bawah Pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU) atau program bantuan kerajaan yang disediakan sebelum ini.

Daripada jumlah itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, Selangor mencatat bilangan tertinggi dengan 1,282 kawasan masih belum diliputi sistem itu, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 992 kawasan, Sarawak (765) dan Sabah (260).

Sementara itu, katanya, Johor mencatatkan 271 kawasan, Pulau Pinang dengan 243 kawasan, Kelantan (228) dan Kedah (157).

“Manakala Pahang merekodkan 70 kawasan yang masih belum mendapat liputan PADU, diikuti Perak (67), Terengganu (35), Negeri Sembilan (8), Perlis (7), Putrajaya (5), dan Melaka (2),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

‘Lokaliti’ merujuk kepada nama yang diberi kepada sesuatu tempat seperti tempat tinggal sekumpulan orang tempatan yang mempunyai talian sosial yang jelas termasuk kampung atau taman perumahan.

Antara contoh kawasan adalah seperti lokaliti Projek Perumahan Rakyat atau Perumahan Awam, Kondominium, Pangsapuri, Rumah Kos Rendah, Kuarters, Rumah Kedai, Rumah Air atau Rumah Panjang dan Rumah Sesebuah.

Dalam konteks pelaksanaan PADU, Rafizi berkata, pengemaskinian oleh rakyat atau rekod pentadbiran individu divisualisasi sehingga di peringkat lokaliti.

Beliau berkata, penelitian pengemaskinian PADU di peringkat lokaliti itu akan menjadi input bagi memastikan semua kawasan diliputi, mempunyai perwakilan dan tidak berlaku keciciran.

“Penduduk di kawasan ini, walaupun dikenal pasti dari kalangan B40 dan B60, mereka tidak mempunyai data dalam apa-apa pangkalan data bantuan kerajaan sebelum ini.

“Penduduk di lokaliti ini berisiko tercicir daripada menerima ataupun dilibatkan dalam apa-apa program atau bantuan kerajaan yang akan datang,” jelasnya.

Setakat jam 11.59 malam pada 17 Mac, seramai 5.43 juta individu sudah pun mengemaskini data PADU.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, Kementerian Ekonomi dan pasukan PADU dalam tempoh dua minggu sehingga hari terakhir pendaftaran sistem itu akan mempertingkat pendaftaran individu dan isi rumah.

Katanya, ini terutamanya pendaftaran meliputi kawasan yang dikenal pasti berisiko terbesar pengecualian.

Justeru, beliau berkata, satu sesi libat urus (townhall) akan diadakan di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), dekat Shah Alam, Selangor pada 23 Mac ini bertujuan memberi penerangan mengenai manfaat PADU.

Selain itu, katanya, sesi tersebut akan mendapat kerjasama pihak berkaitan untuk membantu meningkatkan pendaftaran PADU dalam kalangan rakyat, terutamanya di kawasan Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum 31 Mac depan.

“Antara yang bakal menghadiri sesi ini termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negeri, Pegawai Daerah, Datuk Bandar serta Yang Dipertua Negeri, Ketua Pesuruhjaya Bangunan (COB) bagi setiap pihak berkuasa tempatan dan wakil Badan Pengurusan Bersama (JMB).

“Pada masa yang sama, kaunter pendaftaran PADU akan dibuka sepanjang sesi townhall bagi membantu orang awam untuk mendaftar dan mengemas kini PADU.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta semua kerajaan negeri mengambil langkah yang sama, mengumpulkan wakil-wakil penduduk dari kawasan-kawasan berisiko tinggi keciciran,untuk menggalakkan pendaftaran PADU penduduk kawasan tersebut,” katanya.

Rafizi berkata, mulai 31 Mac dan seterusnya, data yang sedia ada dan telah dikemas kini dalam PADU akan digunakan sebagai panduan untuk merangka dasar serta akan digunakan untuk menentukan kelayakan individu untuk program kerajaan, bantuan dan subsidi.

Beliau berkata, kerajaan akan menggunakan data yang didapati dari jabatan-jabatan kerajaan sedia ada yang berisiko tidak tepat atau tidak terkini, sekiranya orang ramai tidak mendaftar dan mengemas kini data di dalam PADU.

“Daftar dan kemas kini data anda di PADU sebelum 31 Mac 2024 untuk mengelakkan risiko keciciran berterusan.

“Anda mungkin tidak mendapat bantuan kerajaan sebelum ini, kini walau peluang itu telah dibuka, oleh kerana data anda tidak dikemas kini, anda mungkin terus tercicir,” tambahnya.

PADU yang dilancarkan pada 2 Januari lalu merupakan antara komitmen kerajaan untuk membangunkan dan mewujudkan satu pangkalan data.

Ia akan menjadi sumber rujukan utama kepada semua agensi kerajaan dalam membuat keputusan berpandukan data yang tepat, di samping menambah baik kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

 

 

Author

Pilihan Editor