CYBERJAYA: Kehadiran ekonomi gig sudah tidak asing lagi bagi masyarakat seluruh dunia untuk menambah jumlah pendapatan tatkala ekonomi masih tidak menentu.
Di Malaysia, ia semakin terkenal terutamanya selepas negara dilanda badai pandemik Covid-19 yang memperlihatkan banyak perniagaan terpaksa gulung tikar, selain mengakibatkan ramai hilang punca pendapatan.
Ekonomi gig dilihat sebagai pekerjaan alternatif atas beberapa faktor termasuk kebebasan memilih tempat bekerja, fleksibiliti masa, insentif dan kemudahan teknologi yang ditawarkan.
Disebabkan faktor berkenaan, peluang pekerjaan tersebut direbut oleh kebanyakan individu tidak kira dari pelbagai umur dan latar belakang.
Namun, adakalanya ia terpaksa digunakan oleh segelintir anak muda yang sanggup berkorban menyara kehidupan keluarga, meskipun mereka masih mempunyai masa depan cerah untuk menyambung pelajaran.
Berdasarkan tinjauan MEDIA VARIASI, perkara itu didedahkan oleh rata-rata individu yang lahir mulai tahun 1997 hingga 2012 atau lebih dikenali sebagai Generasi Z.

Menurut Muhammad Firdaus Misdan, 26, dia memilih pekerjaan sambilan sebagai penghantar makanan, berikutan masa yang fleksibel dengan hanya menggunakan telefon pintar dan motosikal.
Pekerja tetap di sebuah gudang yang terletak di Klang, Selangor itu mendedahkan bahawa, dia boleh mencapai anggaran pendapatan bulanan hasil pekerjaan sambilan itu sehingga RM300 seminggu.
Bagaimanapun, jumlah tersebut bergantung mengikut kerajinan penghantar makanan atau permintaan pelanggan dalam talian.
Ketika ditanya mengenai keinginannya untuk menyambung pelajaran, Muhammad Firdaus berkata, kemahuan itu diketepikan atas faktor umur, kekangan masa serta masalah kewangan.
“Sambung pelajaran berbaloi untuk mereka yang masih berminat dan mempunyai kewangan yang stabil.
“Saya lebih memilih untuk bekerja bagi menampung perbelanjaan keluarga, ditambah pula dengan masalah ekonomi Malaysia ketika ini dengan harga barang yang sangat tinggi,” katanya.

Turut mengalami situasi sama, Muhammad Afiq Muhaimin, 25, berkata, dia pernah ditawarkan untuk menyambung pelajaran dalam bidang pendawaian elektrik.
Muhammad Afiq atau lebih dikenali dengan nama panggilan Angah bagaimanapun berkata, tawaran itu ditolak disebabkan komitmen dan nilai kos pelajaran yang tinggi.
“Kalau diberi peluang sekali lagi, saya masih memilih untuk tidak sambung belajar.
“Memang seronok untuk pegang duit (pendapatan), cuma komitmen dan kos sara hidup yang tinggi membuatkan saya lebih bertanggungjawab terhadap kelangsungan hidup,” kongsinya.
Angah yang bekerja sepenuh masa sebagai operator kilang di Ayer Keroh, Melaka berkata, dia memperoleh pendapatan sebagai penghantar makanan sambilan dengan anggaran sebanyak RM900 hingga RM1,800 sebulan.

Sementara itu, Muhammad Tarmizi Illyasa berkata, dia pernah menyambung Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 (SKM2) dalam bidang seni kulinari, di Noble School City Campus dekat Taiping, Perak.
Namun, pemuda berusia 20 tahun itu tidak berpeluang melangsungkan pelajaran di peringkat SKM3 atas faktor kewangan dan kesihatan ibunya yang tidak mengizinkan.
Tidak bercadang untuk menyambung pelajaran sekiranya diberi peluang sekali lagi, Muhammad Tarmizi berkata, dia sebaliknya memilih untuk mencari lebih banyak jumlah pendapatan bagi menyara kehidupan keluarganya.
“Saya lebih memilih untuk bekerja sebagai penghantar makanan secara sambilan berbanding menyambung pelajaran.
“Anggaran pendapatan yang saya terima adalah antara RM900 hingga RM1,200 sebulan,” katanya yang bekerja sebagai operator kilang di selatan tanah air.

Pada masa sama, seorang lagi operator kilang yang berasal dari Alor Gajah, Melaka mengakui bahawa, dia masih berminat untuk menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi.
Namun, pemuda yang dikenali sebagai Adam, 25, berkata, rezekinya untuk berbuat demikian masih belum kesampaian, apatah lagi dia merupakan anak sulung yang menjadi tulang belakang untuk menyara keluarga.
“Tapi, kalau saya diberi peluang untuk sambung belajar, saya akan pilih jurusan kemahiran seperti automotif atau elektrik,” katanya.
Adam berkata, dia memilih untuk bekerja sambilan sebagai penghantar makanan kerana pekerjaan itu memberi peluang pekerjaan menerusi kudrat yang mampu dilakukannya.
Katanya, dia memperoleh sebanyak RM50 sehari ketika bekerja sebagai penghantar makanan.
“Dengan keadaan ekonomi sekarang, lebih baik saya tolong keluarga saya. Nak mengharapkan satu kerja sahaja memang susah,” tambahnya.
Untuk rekod, ekonomi gig merupakan suatu trend pasaran bebas yang memberi kebebasan kepada syarikat untuk membina platform dengan tenaga kerja (pekerja) gig, tanpa perlu menjadi pekerja sepenuh masa seperti mana yang ditakrifkan mengikut Akta Kerja 1955.
Antara syarikat terbabit membina platform aplikasi teknologi ekonomi gig adalah Grabfood, Foodpanda, BungkusIt, Lalamove, Lazada, Shopee, AirBnB, TaskRabbit, Gran dan MyCar.
Selain itu, perkembangan ekonomi gig selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).