HomeBeritaHSAJB nafi pesakit lewat terima rawatan

HSAJB nafi pesakit lewat terima rawatan

CYBERJAYA: Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) menafikan dakwaan bahawa seorang pesakit lewat menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT).

Pengarah HSAJB dalam kenyataan pada Selasa berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai hantaran tular di laman X milik @igakhairuzamann berhubung perkara tersebut pada 16 Mac lalu.

Katanya, siasatan dalaman sudah pun dibuat dan mendapati pesakit telah didaftar di JKT pada jam 10.33 malam dan diambil tanda vital di Zon Hijau pada jam 10.45 malam.

“Rawatan awal (splinting) telah diberikan kepada pesakit pada jam 11 malam sebelum pegawai perubatan melihat pesakit pada jam 3.30 pagi.

“Susulan itu, pesakit dirujuk kepada pegawai perubatan dari Jabatan Ortopedik pada jam 4.10 pagi,” katanya.

Jelasnya, pesakit berkenaan didiagnos dengan kepatahan tulang clavicle (tulang selangka), manakala pegawai perubatan tersebut telah memberikan rawatan konservatif dan janji temu rawatan susulan di klinik ortopedik jam 8 pagi pada 24 Mac ini.

Tambahnya lagi, pesakit dibenarkan discaj dengan sijil cuti sakit serta diberikan ubat tahan sakit.

“Pihak hospital memandang serius perkara tersebut dan sentiasa berusaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada orang awam yang hadir ke HSAJB untuk menerima rawatan,” katanya.

Pada 16 Mac lalu, wanita yang dipercayai ejen insurans itu mendakwa, seorang pelanggan lewat untuk menerima pengimejan X-ray di hospital kerajaan, selepas mengalami kemalangan baru-baru ini.

Wanita itu mendakwa, pelanggan berkenaan mengambil giliran mulai jam 7 malam, namun hanya diberikan rawatan pada keesokan petangnya.

Menurutnya lagi, selepas mengetahui tulang bahu kiri pelanggan tersebut patah, doktor meminta pelanggan berkenaan pulang sebelum mengaturkan janji temu dengan pakar ortopedik pada 24 Mac depan.

“Satu ubat tak bagi, cuma dapat MC (sijil cuti sakit) selama empat hari. Painkillers (ubat tahan sakit) pun tak dapat. Sakit tak patah bahu ni? Malam semalam client (pelanggan) menangis tak boleh tidur sebab sakit.

“Dapat MC empat hari tapi jumpa doktor lagi 10 hari. Takkan nak pergi kerja dengan bahu patah? Lepas tanya kenapa dia tak pergi private (hospital swasta)? Dia cakap takut tak cover (insurans) sebab baru lepas dua bulan ambil pelan medical card (kad perubatan),” katanya.

“Kemalangan sebenarnya cover 24 jam selepas polisi aktif. Lepas tu terus bos aturkan pelangggan masuk hospital dan alhamdulillah settle dah warded.

“Pagi ni warded terus doktor scan dan buat MRI (imbasan pengimejan resonans magnetik). Alhamdulillah, petang ni atau esok pagi akan operation masuk besi pada bahu. Laju kan? Dalam tempoh 24 jam selesai,” katanya.

Tinjauan MEDIA VARIASI di laman X wanita itu pada Selasa mendapati, hantaran tersebut sudah pun dipadam.

 

 

Author

Pilihan Editor