CYBERJAYA: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah menubuhkan Jawatankuasa Penyiasatan Bebas pada 29 Februari lalu, bagi menyiasat surat layang yang mendakwa seorang doktor di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), dekat Ipoh, Perak melakukan gangguan seksual terhadap kakitangan hospital.
Pengarah JKN Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, penubuhan jawatankuasa itu dibuat sehari selepas surat tersebut diterima HRPB melalui pos.
“Jawatankuasa ini terdiri daripada pegawai-pegawai yang dilantik oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan (KKM).
“Siasatan sedang dijalankan dengan pengumpulan bukti. KKM memandang tuduhan ini sangat serius dan mempunyai toleransi sifar terhadap gangguan seksual di tempat kerja,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Terdahulu, kecoh di media sosial berhubung surat layang tersebut yang mendakwa seorang doktor dari sebuah jabatan di HRPB melakukan gangguan seksual terhadap kakitangan wanita hospital tersebut.
Antara dakwaan yang terkandung di dalam surat layang ditujukan kepada Pengarah HRPB, Datuk Dr Megat Iskandar Megat Abdul Hamid, termasuk cara doktor tersebut melakukan gangguan seksual serta salah laku lain membabitkan cara kerja.
Surat itu juga turut mendedahkan nama beberapa kakitangan hospital berkenaan yang didakwa melindungi perbuatan doktor tersebut.
Selain itu, penghantar surat tersebut menzahirkan rasa kesal selepas ketiadaan sebarang tindakan terhadap doktor berkenaan, meskipun aduan berhubung isu terbabit sudah dikemukakan.
Malah, penghantar surat itu juga membuat permohonan terhadap Megat Iskandar, agar siasatan terhadap kes dilakukan secara telus dan memohon doktor tersebut ditukarkan ke hospital di negeri lain.