HomeGlobalKejam! Ibu tergamak biarkan anjing kekasih serang anak OKU

Kejam! Ibu tergamak biarkan anjing kekasih serang anak OKU

SEORANG wanita tergamak bersubahat bersama teman lelakinya, selepas hanya membiarkan seekor anjing menyerang anak perempuannya yang berstatus orang kelainan upaya (OKU).

Lapor New York Post, Lillianna yang berusia 4 tahun mengalami kecederaan parah, apabila anjing baka campuran jenis Cane Corso Mastiff itu menyerangnya kira-kira jam 2 petang pada 20 Februari lalu.

Anjing ganas berbaka campuran Cane Corso Mastiff menyebabkan kecederaan parah ke atas kanak-kanak tersebut pada bulan lalu. – Gambar hiasan/Agensi

Ibu kepada kanak-kanak itu, Danielle Stratman, 25, bertindak menukar pakaian Lillianna sebelum menyembunyikan pakaiannya yang mempunyai kesan darah di bawah katil.

Menurut Polis Omaha, tindakan licik wanita itu bagaimanapun dapat dihidu dan hasil siasatan mendapati bahawa, haiwan tersebut dimiliki oleh teman lelakinya yang dikenali sebagai Greg Preister, 42.

Anjing itu kemudian diserahkan secara sukarela sebelum dibunuh oleh Persatuan Kemanusiaan Nebraska.

Susulan itu, Stratman dan Preister kini sudah pun ditahan pihak berkuasa.

Menurut polis, wanita itu dikenakan perintah larangan untuk bertemu dengan kanak-kanak itu, berikutan berdepan dengan tuduhan penderaan kanak-kanak dan serangan rumah tangga pada bulan lalu.

Pada masa sama, Preister memiliki dua rekod jenayah sejak 2006 dan turut berdepan dengan tuduhan menyembunyikan anjing berbahaya dan merosakkan harta benda.

Stratman kekal ditahan dalam penjara dengan bon jaminan AS$150,000 (RM702,600), manakala status jaminan Preister masih belum dapat ditentukan.

Tidak dapat diketahui sama ada kedua-duanya sudah melantik peguam untuk mewakili mereka, manakala pihak polis tidak memberi sebarang ulasan lanjut berhubung perkara itu.

Lillianna mengalami kulit kepala tercabut, tulang pipi patah, ligamen di leher terkoyak dan mendapat jahitan di seluruh badan selepas diserang anjing ganas terbabit. -Agensi

Menurut waris keluarga kanak-kanak itu, Lillianna kini sudah pun dibenarkan keluar dari unit rawatan rapi (ICU), namun masih memerlukan tempoh lama untuk pulih seperti sedia kala.

Ibu saudaranya, Kimberly Lane Koterba sudah pun melancarkan permohonan dana di laman GoFundMe bagi menampung bil perubatan kanak-kanak tersebut.

“Dia berusia 4 tahun dan kulit kepalanya tercabut, tulang pipinya patah, ligamen di lehernya terkoyak dan terdapat jahitan di seluruh badannya.

“Dia sudah pun keluar dari ICU, namun mungkin akan menjalani pembedahan pada hujung minggu ini.

“Banyak lagi pembedahan yang akan menyusul. Malah, dia juga memerlukan terapi bagi trauma tersebut,” tulis Koterba menerusi hantaran di GoFundMe.

Menurut Koterba, kanak-kanak itu juga dilahirkan dengan spina bifida, iaitu kecacatan kelahiran yang menjejaskan perkembangan saraf tunjang.

Sehingga Ahad petang, dia sudah pun mengumpulkan dana hampir AS$8,000 (RM37,471) di GoFundMe.

 

 

Author

Pilihan Editor