CYBERJAYA: KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) digesa untuk menaikkan kain rentang memohon maaf di setiap 881 cawangan mereka dalam tempoh masa dua hari.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas sekiranya kedai rangkaian serbaneka tersebut gagal untuk berbuat demikian.
“Sebelum ini tak dapat disiasat disebabkan tiada laporan polis, pada malam ini pemuda UMNO seluruh Malaysia telah digerakkan untuk buat laporan polis,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Sebelum ini, KK Super Mart tampil membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah SWT di salah satu cawangannya di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor.
KK Super Mart dalam satu kenyataan berkata, tindakan serta-merta telah diambil dengan memberhentikan penjualan stoking tersebut.
“Kami kesal dan memandang serius akan perkara ini, untuk makluman, produk ini adalah konsainan daripada pihak vendor.
“Kami juga sudah berhubung dengan mereka untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu ini,” katanya.