HomeBeritaLebih 2 juta cubaan tembusi ciri keselamatan PADU setiap hari, dedah Rafizi

Lebih 2 juta cubaan tembusi ciri keselamatan PADU setiap hari, dedah Rafizi

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi mendedahkan lebih dua juta cubaan menembusi ciri keselamatan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setiap hari pada peringkat awal ia diperkenalkan.

Menterinya, Rafizi Ramli bagaimanapun menjelaskan, setakat ini tiada pihak yang berjaya kerana ciri-ciri keselamatannya mematuhi piawaian global termasuk komponen keselamatan rangkaian.

Menurutnya, PADU menampilkan tiga komponen utama keselamatan data, antaranya membabitkan pelaksanaan kawalan akses capaian serta penyulitan.

“Setiap data didaftarkan di PADU adalah ‘encrypted’, bermaksud walaupun ada yang berjaya memecah masuk dan memuat turun fail, ia perlu dinyahsulitkan.

“Kecuali penggodam itu guna super komputer yang boleh menyahsulitkan data, tetapi ia suatu yang merapu,” katanya ketika sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) mengenai langkah kawalan data PADU daripada disalahgunakan.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, sistem itu tidak dibenarkan diakses dari luar negara dan lokasi akan dikategorikan berisiko berdasarkan rekod cubaan akses kebanyakannya dari luar Malaysia.

“Insya-Allah kaedah dinyatakan akan memastikan keselamatan PADU daripada penyalahgunaan selain memastikan tiada keciciran berlaku dalam pendaftaran,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai pendaftaran, Rafizi berkata, seramai lapan juta warga tempatan berumur 18 tahun ke atas sudah mendaftar setakat jam 11.59 malam Isnin.

Jumlah itu katanya, mewakili 36.8 peratus daripada keseluruhan dengan mengunjurkan pendaftaran akan mencapai 50 peratus berdasarkan kadar pendaftaran antara 350,000 hingga 400,000 sehari menjelang 31 Mac depan.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), Rafizi menafikan dakwaan sebahagian besar golongan bukan Bumiputera tidak mendaftar di PADU kerana kurang percaya kepada kerajaan.

Sebaliknya, beliau berkata, keadaan itu didorong faktor golongan bukan Bumiputera tidak biasa menerima bantuan dan mengisi dokumen seumpama itu.

“Sebahagian besar golongan berkenaan memang tidak biasa menerima bantuan kerajaan secara bulanan, sebelum ini. Sebab itu mereka tidak banyak yang berada dalam sistem kerajaan.

“Mereka juga banyak yang merasakan berada dalam golongan M40 ke atas dan tidak layak mendapat apa-apa bantuan. Itu sebab dia, bukan sebab defisit kepercayaan,” katanya.

Author

Pilihan Editor