HomeSukanMalaysia tolak tawaran jadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026

Malaysia tolak tawaran jadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026

 

CYBERJAYA: Kerajaan mengambil keputusan untuk tidak menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebagai tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkata, keputusan tersebut diambil dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang hari ini, setelah meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi.

Delegasi CGF telah bertemu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan mengadakan sesi penerangan mengenai tawaran selaku tuan rumah pada 5 Februari lalu yang turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, kata KBS dalam kenyataan pada Jumaat.

Hasil pertemuan itu yang dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, CGF menawarkan 100 juta pound (RM603 juta) bagi penganjuran namun jumlah tersebut dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan temasya sukan berskala besar.

“Kerajaan Madani mengucapkan terima kasih kepada CGF atas penawaran tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

“Namun, pada ketika ini kerajaan mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Author

Pilihan Editor