HomeBeritaPemandu, kelindan lori sangkar ayam maut dalam nahas 2 lori

Pemandu, kelindan lori sangkar ayam maut dalam nahas 2 lori

KAMPAR: Kemalangan membabitkan tiga kenderaan menyebabkan dua maut manakala seorang cedera di KM294.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat Gopeng pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, nahas membabitkan sebuah lori membawa muatan sangkar ayam yang dinaiki dua mangsa itu dengan sebuah lagi lori yang membawa muatan batu, lapor Harian Metro.

Mangsa iaitu Yew Khiang Khoon, 53, yang memandu lori sangkar ayam dan Abdul Rahman Mat Desa, 39, sebagai kelindan lori itu maut di tempat kejadian manakala pemandu lori muatan batu cedera.

Siasatan awal mendapati, lori sangkar ayam berkenaan melanggar bahagian belakang lori muatan batu semasa kedua-dua lori itu berada di lorong kiri.

Pelanggaran itu menyebabkan lori sangkar ayam mengalami kebakaran kecil namun sempat dipadamkan oleh pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian.

“Pemandu dan kelindan tersepit di dalam lori sangkar ayam terbabit dan berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba. Namun mereka disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik.

“Manakala pemandu lori muatan batu dibawa oleh ambulans ke hospital kerana mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nazri turut menyatakan kemalangan itu mengakibatkan laluan kiri arah utara ditutup untuk kerja-kerja siasatan selain kerja-kerja pembersihan oleh pihak bomba serta PLUS Malaysia Berhad.

Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Author

Pilihan Editor