MELAKA: Lebih 10 lokasi tumpuan ‘geng plastik hitam’ atau kaki ponteng puasa sepanjang Ramadan di sekitar negeri ini telah dikenal pasti oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, JAIM akan melakukan pemantauan dan pemeriksaan lebih ketat serta berkala sepanjang Ramadan bermula awal pagi sehingga tengah hari khususnya di lokasi tumpuan kaki ponteng puasa menerusi Op Cegah Jenayah Syariah.
Rahmad berkata, penguatkuasaan itu dilaksanakan di bawah Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana menjual makanan dan makan dalam bulan Ramadan, lapor Bernama.
“Menerusi operasi berkenaan, umat Islam didapati tidak berpuasa dan makan di tempat awam akan ditangkap anggota penguat kuasa JAIM, manakala peniaga yang menjual makanan kepada golongan itu juga akan diambil tindakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas Majlis Pelancaran Program Ihya Ramadan Peringkat Melaka 2024 yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Rahmad berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti atau lokasi ‘geng plastik hitam’ boleh menyalurkannya kepada pihak JAIM agar tindakan penguatkuasaan dapat dilakukan.
Menurutnya, pada Ramadan tahun lepas katanya, seramai 96 kaki ponteng puasa ditahan sepanjang pelaksanaan Op Cegah Jenayah Syariah berbanding 41 orang dalam tempoh sama pada 2022.